Sejak kebelakangan ini, hanya menerusi kiriman WhatsApp sahaja, masyarakat Islam di Singapura boleh menempah perkhidmatan pembersihan kubur insan-insan tersayang mereka.
Begitu mudah sekali kerana sejak COVID-19 melanda seluruh dunia, banyak juga syarikat kontraktor ditubuhkan di Singapura menawarkan khidmat pembersihan kubur orang-orang Islam sama ada di Pusara Aman atau di kubur lama Pusara Abadi di Singapura.
Secara tidak langsung, ia juga memberi peluang pekerjaan bagi mereka yang mungkin terjejas kerana hilang pekerjaan disebabkan oleh pandemik itu.Ada pula yang sekadar ingin menukar kerjaya mereka.
Selalunya, pihak waris atau anggota keluarga hanya perlu memberi butiran nama Allahyarham atau Allahyarhamah (di Singapura dipanggil Almarhum/Almarhumah), nombor blok serta plot kubur agar memudahkan penyedia khidmat mencari kubur-kubur tersebut.
Foto-foto sebelum dan sesudah pembersihan kubur akan dikirimkan agar pembayaran dapat dibuat kepada kontraktor.
Terdapat juga pelbagai pakej yang ditawarkan seperti menukar tanah atau menukar rumput serta mencuci jubin kepungan kubur dan sebagainya.
Apakah yang membuat mereka menyediakan khidmat pembersihan kubur di Singapura? Apakah cabaran yang perlu mereka lalui?
Encik Muhammad Azan Bin Jasni, syarikat PenjagaKubur.Sg
Menurut anak muda berusia 28 tahun ini, dia membuat keputusan untuk menubuhkan syarikatnya sendiri setelah kehilangan anaknya yang berusia sebulan satu hari pada Julai 2020 lalu.
Sebelum ini, dia pernah bekerja dengan syarikat lain yang menyediakan khidmat yang sama pada tahun 2014 sebenarnya.
“Selepas arwah meninggal, hari-hari saya turun ke kubur dan terfikir mengapa tidak saya kerja balik dengan syarikat lama agar boleh dekat dengan arwah. Setelah beberapa bulan barulah saya buat syarikat saya sendiri, PenjagaKubur.Sg.”
Encik Muhammad Azan melaksanakan tugasannya bersama dua rakan lain untuk membersihkan 15 -20 plot kubur setiap hari sama ada di Pusara Aman atau di kubur lama Pusara Abadi.
Membersihkan kubur-kubur lama di Pusara Abadi adalah lebih mencabar kerana mereka harus mencari plot kubur yang telah pun berada dalam kawasan semak.
Katanya, “Takut-takut jugalah kalau ada ular sembunyi. Kadang-kadang masuk kubur lama perlu bawa dua atau tiga orang untuk keselamatan diri.
“Saya pernah terjumpa telur, tak tahulah, mungkin telur ular. Pernah terjumpa bungkusan kain kuning di letak di batu nisan tapi saya tak kacaulah. Dah banyak kali jumpa ular sebenarnya. Kalau terjumpa, kita pergi kubur lain dulu.”
Dia turut berkongsi, membersihkan kubur-kubur membuatnya rasa gembira dan puas dapat tunaikan hajat waris atau anggota keluarga lebih-lebih lagi bagi kubur-kubur yang tidak dapat dibersihkan oleh keluarga.
Mungkin juga disebabkan mereka tiada kenderaan untuk menziarah kubur atau keadaan tidak mengizinkan.
Kekadang ada juga satu atau dua kes di mana anggota keluarga tidak ingin membayar setelah khidmat diberikan dengan alasan-alasan mereka yang tersendiri.
Jelasnya pada kami, “Saya dah jalankan tugas dan harap mereka bayar tapi kalau mereka tak nak bayar pun kita tak boleh buat apa-apa. Kita ikhlaskan saja.”
Encik Md Fazli Bin Poohari, syarikat Perkhidmatan Tanah Kuburan (P.T.K)
Adik-beradik ini pada mulanya tiada pengalaman langsung membersihkan kubur namun mereka tekun menimba ilmu agar dapat memberikan khidmat pembersihan kubur di Singapura.
Setelah ziarah kubur untuk membersihkan kubur arwah ibu mereka pada tahun lepas, Encik Md. Fazli dan adiknya Jay Jay membuat keputusan untuk bekerja sepenuh masa dengan menubuhkan syarikat P.T.K meskipun pada mulanya mereka tiada niat untuk menceburi bidang ini.
Sambutan terhadap khidmat pembersihan kubur dari mereka amat menggalakkan.
P.T.K mendapat 130 tempahan hanya dalam masa seminggu setelah berkongsi di Facebook. Hanya mereka berdua sahaja melaksanakan tugasan pembersihan kubur.
Dalam sehari mereka boleh mendapat 15-18 tempahan jadi mereka akan membahagikan tugas sama rata antara mereka berdua.
Menurut bekas ejen hartanah itu, mereka tidak melakukan pembersihan kubur sewaktu hujan walaupun sekadar hujan gerimis kerana kubur akan menjadi kotor dan terkena pada kubur lain pula.
Alah bisa tegal biasa kerana mereka sudah biasa dengan cuaca panas ketika membersihkan kubur.
Terang Encik Md. Fazli pada kami, “Kubur-kubur lama tempatnya dalam, ada kalanya tidak ada batu nisannya atau papan tanda lagi, nak cari susah sebab dah tertutup. Bila kita tunjuk gambar pada waris ada yang marah katakan tak mungkin.”
Selalunya, di dalam pokok besar ada juga ular yang tersembunyi. Ini adalah risiko bagi mereka.
“Bila dah potong pokok, waris minta maaf dengan saya. Saya kata bukan nak menipu kerana apa-apa kita nak buat perlu jujur.”
Sewaktu membersihkan kubur pada waktu siang pun, mereka pernah mengalami insiden di mana pasir dicampak dari sumber yang tidak diketahui atau terdengar lagu lama yang sumbernya bukan dari radio kerana tidak ada sesiapa yang membuka radio langsung ketika pembersihan kubur dijalankan.
“Saya angkat kaki dan jalan dengan pantas. Mulut jangan celupar bila masuk kawasan kubur kerana kita perlu hormat. Saya belajar daripada orang lama iaitu kepungan kubur jangan dilangkah.” - Getaran, 19 Jun 2021
Semua gambar: Ihsan PenjagaKubur.Sg dan Perkhidmatan Tanah Kuburan (P.T.K)