Pelakon Thailand, Mario Maurer mendedahkan sering didatangi peminatnya untuk memeriksa keadaan kesihatan ekoran membawa watak seorang doktor dalam siri terbaharu lakonannya ‘Royal Doctor’.
Menurut Mario, sebelumnya dia pernah mendapat reaksi yang sama ketika membawa watak Thong Ake dalam siri Thong Ek: The Herbal Master.
Katanya, meskipun dia berasa gembira dengan reaksi peminat yang begitu positif bagi kedua-dua watak yang dibawanya, namun dia berharap mereka bertemu dengan doktor yang sebenar bagi menerima rawatan yang sepatutnya.
“Salah satu reaksi biasa peminat saya ialah mereka selalu akan datang kepada saya dan cakap: “Mario atau doktor, boleh awak periksa saya? Boleh awak periksa saya sakit apa? Macam mana keadaan saya hari ini?"
“Perkara sebegitu kerap berlaku ketika saya merakam Thong Ek. Tapi setelah saya rakam ‘Royal Doctor’, ia mula berlaku semula.
“Sekarang orang datang kepada saya dan memberitahu: “Hei, Mario. Abang saya ada penyakit”.
Jadi saya akan memberitahu mereka bahawa saya cuma seorang pelakon yang membawa watak doktor dan mereka perlu menghubungi doktor sebenar untuk penyakit mereka,” katanya.
Mengulas lanjut Mario mengakui dia meluangkan banyak masa menghafal skrip terutama untuk mengingati nama ubat dan herba.
“Dua hari sebelum penggambaran, saya akan menyebutnya berulang-kali sepanjang hari bagi menghafalnya dengan betul.
“Kadangkala skripnya adalah dalam bahasa Pali jadi ia agak sukar untuk diingati. Saya perlu melakukannya sepanjang hari. Jadi pada waktu pagi, saya akan membaca skrip, selepas makan tengah hari, saya masih membaca skrip.
“Ada ketika saya tak dapat berbual banyak dengan barisan pelakon yang lain kerana saya asyik mengulang skrip dalam kepala saya,” ujarnya.
Bagaimanapun, Mario mengakui suasana di set penggambaran sangat menyeronokkan kerana dia mengenali ramai pelakon yang terlibat dalam drama ini.
Tambahnya, hampir semua pelakon adalah barisan pelakon sama seperti ketika dia menjayakan penggambaran drama ‘Thong Ek’, menjadikan set pengembaran seolah satu reunion.
“Memang saya rasa seronok. Kerana kami semua sudah saling mengenali antara satu sama lain, malah pengarah ialah orang yang sama, begitu juga dengan penerbitnya.
“Jadi, ia tak berasa seperti kami sedang bekerja. Ia seperti berada di rumah dan berseronok dengan keluarga sendiri.
“Dan sebenarnya, ketika di hujung penggambaran, saya benar-benar tak mahu ia tamat. Saya merasa sangat sedih kerana mahu meneruskan penggambaran,” akurnya.
Royal Doctor mengisahkan Bua (Kimberly Anne) seorang pelajar perubatan yang tidak mempunyai keyakinan diri dan selalu dimarahi profesornya kerana tidak dapat melakukan diagnosis pesakit dengan baik.
Suatu hari, ketika sedang berada di rumah, Bua tiba-tiba telah ditarik oleh ribut yang kencang dan sebaik tersedar dia mendapati dirinya telah merentas ke zaman pemerintahan King Rama III.
Bua yang terdampar di dalam hutan diselamatkan anak murid Cikgu Han yang mengajar seni lawan pedang di situ. Bua berkawan baik dengan Phad (Pat Natpapa) yang tinggal bersama Cikgu Han dan anak muridnya.
Baru sehari tinggal di situ penempatan Cikgu Han telah diserang mafia Cina. Bua yang melarikan diri ke dalam hutan terpisah dari Phad kemudiannya cedera parah diserang musuh Cikgu Han. Nasib baik Bua diselamatkan Thong On (Mario Maurer) yang mempunyai pengetahuan mengenai perubatan tradisional.
Cikgu Han dan anak muridnya yang lain diselamatkan abang Thong On iaitu Thongthae (Masu Junyangdikul).
Thongthae membawa Cikgu Han, Bua dan yang lain tinggal di rumah mereka sehingga pulih. Sejak hari itu Bua semakin rapat dengan Thong On.
Saksikan kisah selanjutnya antara Bua dan Thong On, dalam siri ‘Royal Doctor’ menerusi Viu, Astro Ultra dan Ulti Box secara percuma. – Getaran, 13 Jun 2023