Tidak seperti bintik-bintik hitam, jerawat, jeragat dan garis-garis penuaan, kulit yang kusam sukar untuk dikesan.
Jika anda melihat ke cermin dan merasakan kulit muka anda sebenarnya wajar lebih berseri dan kelihatan sihat, ketahuilah ia sesuatu yang mungkin boleh berlaku.
Kulit kusam ialah istilah umum untuk kulit yang tidak sihat. Beberapa puncanya seperti sel-sel kulit mati, serpihan kotoran dari pencemaran udara dan kulit yang terhidrat.
Perkara pertama dalam menyingkirkan masalah kulit kusam adalah dengan mengkaji puncanya.
Faktor-faktor berbeza seperti pemakanan, gaya hidup dan tabiat penjagaan wajah boleh memainkan peranan dan membantu memberi perubahan dalam memperbaikinya.
Berikut, kami sertakan lima langkah menyingkirkan kulit kusam agar wajah anda kelihatan cerah dan berseri.
#1 Pemakanan yang seimbang
Anda adalah apa yang anda makan.
Kualiti dan jenis makanan yang anda makan mempengaruhi kesihatan dan penampilan kulit anda. Lebihkan makanan yang mengandungi asid lemak yang tinggi seperti ikan dan bijian.
Asid lemak penting untuk mendapatkan kulit yang sihat kerana ia meningkatkan pengeluaran kolagen dan sel di bawah permukaan kulit.
Semakin berkhasiat makanan anda, semakin sihat kulit anda.
#2 Basuh muka secara rutin
Anda harus mencuci muka setiap hari, sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Ini bagi menghilangkan kotoran dan minyak yang terhasil pada permukaan kulit. Mencuci muka juga bertujuan untuk menanggalkan solekan.
Kotoran, minyak dan solekan itu tadi boleh menyebabkan pori-pori tersumbat yang seterusnya boleh menyebabkan kulit menjadi kotor serta kusam.
Jika anda bersolek sepanjang hari, mencuci muka secara berganda boleh dilakukan bagi memastikan tiada sisa solekan yang tertinggal dan masih melekat di permukaan kulit.
#3 Produk pengelupasan yang sesuai
Tidak kira betapa kusamnya kulit anda, anda tidak boleh menyingkirkannya dengan hanya melembabkan kulit muka anda. Pengelupasan (exfoliation) ialah kata kuncinya.
Untuk mendapatkan kulit yang cerah dan berseri, masukkan aktiviti pengelupasan ke dalam rutin penjagaan kulit anda.
Gosok keseluruhan muka secara perlahan-lahan dan lembut selepas membasuh muka dengan pencuci muka, dua kali dalam seminggu.
Pastikan anda menggunakan produk pengelupasan yang mempunyai biji mikro halus bagi memastikan tiada sebarang kesan trauma pada kulit muka anda.
Anda juga boleh mencuba rawatan pengelupasan kimia yang ditawarkan oleh spa-spa kecantikan.
#4 Gunakan pelembap lengkap Hyaluronic Acid
Pernahkah anda merasa kulit anda kering dan tegang selepas mencuci muka?
Oleskan krim pelembap untuk melembapkan muka anda. Sedikit tip, pilih pelembap yang mengandungi hyaluronic acid.
Hyaluronic acid ini membantu dalam mengekalkan kelembapan kulit muka dengan lebih baik dan tahan lama.
#5 Gunakan krim pelindung suria
Ramai yang mengambil ringan tentang kepentingan memakai krim pelindung suria.
Lebih-lebih lagi negara yang menerima sinaran matahari sepanjang tahun seperti negara kita, penggunaan krim pelindung suria amat penting!
Sinaran matahari boleh mengurangkan tahap asid lemak penting dalam badan. Ia seterusnya boleh menyebabkan kekusaman serta kemunculan pigmentasi.
Penggunaan krim pelindung suria yang mengandungi SPF (Sun Protection Factor) sangat penting bagi mengekang permasalahan kulit kusam ini.
Tahap-tahap SPF bergantung pada masa pendedahan. Gunakan SPF 4O untuk kegunaan harian, manakala SPF 50 semasa melakukan aktiviti-aktiviti luar seperti joging, berenang dan bersenam.
Kami sarankan Supergoop! Daily Dose Vitamin C + SPF 40, krim pelindung suria pertama yang menggabungkan manfaat vitamin C bersama SPF dalam formulasinya.
Sambil melindungi, sambil merawat dengan krim pelindung suria istimewa ini yang bakal memberikan kecerahan, penghidratan serta perlindungan kepada kulit muka anda! - Getaran, 8 Februari 2022
Gambar: Pexels & jenama-jenama berkenaan