web statsweb stats

Berita Terkini

9 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Peribadi Murni Rakan Sekerja Dorong Muhammad Hafiz Lafaz Syahadah

Kisah Kita Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Jan 2022 9:00AM

Muhammad Hafiz (tengah) bersama Mawi dan Anas Tahir ketika dia ditemubual Zayan FM tahun lalu.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUBANG PASU - Perbezaan kepercayaan dan agama antara Muhammad Hafiz Lee Abdullah, 26, dengan ibu, bapa serta adik kandungnya sejak lapan tahun lalu, tidak menghalang lelaki tersebut tinggal sebumbung dengan mereka.

Masih menetap bersama ahli keluarganya di Taman Indera, Jitra dekat sini, Muhammad Hafiz yang kini melakukan pelbagai pekerjaan secara separuh masa (part time) mengakui, terdapat beberapa dugaan yang perlu dilalui termasuk dalam aspek penyediaan makanan dan minuman.

Katanya, kesabaran yang tinggi selain komitmen dalam menjalankan tuntutan terhadap agama serta keluarga, amat diperlukan bagi memastikan tanggungjawab sebagai muslim dan anak yang baik dapat dipenuhi.

Muhammad Hafiz (kiri, berdiri) bersama ahli keluarganya iaitu bapa, Lee Chooi Cheng; Ibu, Pacharee dan adik, Lee Pei Fen.
Muhammad Hafiz (kiri, berdiri) bersama ahli keluarganya iaitu bapa, Lee Chooi Cheng; Ibu, Pacharee dan adik, Lee Pei Fen.

“Cabarannya memang ada dengan saya sendiri pun hingga ke hari ini, terpaksa lebih banyak makan di kedai berbanding di rumah.

“Tetapi selagi masih bujang, saya bertekad untuk terus tinggal di sini bersama keluarga. Dengan cara itu bukan saja saya dapat menjaga ibu dan ayah yang sudah berusia, malah mungkin sedikit sebanyak dapatlah saya berdakwah kepada mereka secara perlahan-lahan,” katanya ketika ditemui Getaran di sini, baru-baru ini.

Pemilik nama asal Lee Kok Wei itu adalah anak sulung kepada pasangan Lee Chooi Cheng, 58, dan Pacharee, 57, serta mempunyai seorang adik perempuan iaitu Lee Pei Fen, 22, dengan kesemua mereka masih tinggal sebumbung hingga ke hari ini.

Bercakap mengenai pengislamannya, Muhammad Hafiz yang kini menyambung pelajaran dalam bidang Diploma Pengajian Islam di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) berkata, dia mula tertarik dengan laungan azan sejak kecil memandangkan kedudukan rumahnya yang tidak terlalu jauh dari surau.

“Malah saya cukup suka mendengar azan dan Asmaul Husna di televisyen kerana iramanya yang merdu. Walaupun saya belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), namun saya sebenarnya sudah menghafal azan dan 99 nama Allah SWT itu  sejak sekolah rendah lagi kerana kerap melihat dan mendengarnya di televisyen.

“Apabila belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahawangsa di Jitra pula, saya berpeluang mengenali lebih ramai pelajar Melayu muslim. Dari situ, lebih banyak yang saya belajar mengenai adab dan budaya Melayu serta agama Islam,” katanya.  

Tambahnya, selepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia bekerja di sebuah pasar raya sebagai juruwang dan tertarik dengan sifat seorang muslim ditunjukkan rakan sekerja dikenali sebagai ‘Abang Wan’.

“Abang Wan sifatnya agak berbeza daripada kebanyakan orang yang saya kenali. Dia seorang yang alim, tidak mudah marah, sangat penyabar dan sentiasa berusaha menambah ilmu.

“Apabila bekerja, kami selalu duduk kaunter bersebelahan dan jika tiada pelanggan, Abang Wan akan mengeluarkan buku berkaitan agama mahu pun doa-doa untuk membacanya,” katanya.

Dengan didikan Abang Wan katanya, dia kemudiannya belajar tentang beberapa perkara lain berkaitan Islam terutamanya berkaitan sirah nabi.

“Kemudian tanpa dipaksa sesiapa dan penuh kerelaan hati, saya akhirnya melafazkan kalimah syahadah pada 18 Ogos 2015,” katanya.

Muhammad Hafiz bersama Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.
Muhammad Hafiz bersama Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Muhammad Hafiz memberitahu, perkara  tersebut pada mulanya dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga.

“Selepas seminggu ‘masuk’ Islam, saya ada bertanyakan kepada ibu sama ada dia membenarkan saya memeluk Islam. Sebaik bertanya begitu, emak agak melenting menyebabkan saya terpaksa berdalih dan membatalkan hasrat untuk berkongsi perkara sebenar.

“Namun tidak lama selepas itu, ibu terjumpa dokumen pengislaman ketika saya keluar bekerja. Apabila saya pulang, keluarga memang menentang keputusan itu dan meminta saya untuk kembali ke agama asal, namun saya tetap dengan pendirian untuk hidup sebagai seorang muslim,” katanya.

Ditanya mengenai cita-citanya, Muhammad Hafiz yang kini turut bekerja secara sambilan di Hidayah Centre Foundation secara berterus-terang mengakui yang dia mahu menjadi seorang pendakwah.

“Saya tertarik dengan pendakwah mualaf terkenal, Lim Jooi Soon dan dia juga banyak memberi nasihat kepada saya.

“Itu antara sebab mengapa saya menyambung pelajaran dalam bidang Diploma Pengajian Islam. Sekarang ini pun, memang saya ada terlibat dengan kerja-kerja dakwah dan pendidikan Islam membabitkan golongan mualaf,” katanya. - Getaran 14 Januari 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 tahun yang lalu

MAIM Peruntuk RM13.1 Juta Bantu Mualaf Tahun Ini

2

Selebriti 1 tahun yang lalu

Membesar Sebagai Kristian, Ini Doa Kevin Zahri Sebelum Hijrah, Menitik Air Mata Netizen Mendengarnya 

3

Refleksi 2 tahun yang lalu

Mualaf Kongsi Cabaran Berpuasa

4

Kisah Kita 3 tahun yang lalu

Rai Aidiladha Sebagai Islam, Umar Ha Rasai Nikmat Ibadah Korban

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara