Kejohanan i-Sing World 2023 edisi keempat bakal dianjurkan bermula 23 hingga 28 Mei ini dengan Malaysia telah diberi kehormatan sekali lagi untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan ini.
Terdahulunya, kejohanan i-Sing World edisi keempat anjuran Creative Line Promotion bersama Rythmis Mines ini dijadual berlangsung pada 2020 tetapi telah tertunda dua tahun akibat penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia.
“Kami membesar hati mendapat menganjurkan i-Sing World edisi keempat di Malaysia pada Mac 2020. Namun, dunia dilanda pandemik COVID-19 selepas perjanjian dimeterai.
"Jadi, Malaysia akan menjadi tuan rumah dan menganjurkan kejohanan yang akan disertai lebih 40 negara pada Mei tahun hadapan,” kata Romli Bidin yang mewakili Creative Line Promotion.
Menurut Romli, kejohanan itu secara tidak langsung menjadi usaha terbaik untuk mempromosikan Malaysia memandangkan lebih 40 negara akan menyertai pertandingan itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, i-Sing World bakal mengadakan uji bakat untuk mencari individu berbakat bagi mewakili Malaysia di tiga lokasi termasuk Sabah dan Sarawak bermula 30 Disember ini.
Katanya, sesi uji bakat pertama akan diadakan di pusat beli belah Mid Valley pada 30 dan 31 Disember ini, diikuti Kota Kinabalu (Januari 2023) dan Kuching (Februari 2023).
“Kejohanan i-Sing ini akan mempertandingkan tiga kategori iaitu kategori junior, dewasa (solo) dan kumpulan.
“Kategori pertama, iaitu penyanyi-penyanyi junior yang berusia antara enam sehingga 16 tahun, kategori kedua pulak, penyanyi solo berusia 17 tahun ke atas dan akhirnya adalah kategori terdiri daripada dua hingga lima penyanyi tanpa mengira usia.
“Jadi, pada musim ini kami lebih mementingkan bakat penyanyi itu sendiri, kami tidak akan memilih pakej atau rupa. Paling penting, berbakat besar sebab, kalau ada bakat, tetapi tiada rupa, tidak menjadi masalah tapi kalau ada rupa, tetapi tiada bakat, tak guna juga.
“Lagipun, i-Sing ini merupakan pertandingan peringkat antarabangsa, jadi kami mahu mengetengahkan bakat lebih daripada segala-galanya.
“Jika dahulu ada had, tetapi sekarang tiada had, jadi mungkin kami akan memilih 10 sehingga 15 mewakili pasukan Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Romli tambah, selain bertanding, para peserta akan disajikan dengan berbagai makanan Malaysia dan dibawa melancong sekitar Lembah Klang secara percuma.
Menurutnya, diharapkan kejohanan ini dapat mempromosi dan memikat lebih ramai pelancong ke Malaysia.
Terdahulu, i-Sing World edisi pertama diadakan di Myanmar pada 2017, diikuti edisi kedua di Paris, Perancis, manakala edisi ketiga diadakan di Stockholm, Sweden.
Pada edisi pertama, wakil Malaysia iaitu Nabillah Mohamad berjaya menduduki tempat ketujuh dari 24 negara.
Seterusnya, Syafeek Ikhwan, 30, dinobatkan sebagai juara dunia bagi kategori solo i-Sing World 2018, sekali gus menewaskan peserta dari 40 negara pada edisi kedua.
Kemudian, pada i-Sing World 2019, Malaysia diwakili dua peserta, iaitu Mohamad Husaini Mahmur dan Nadia Naswan Hasnan. Mohamad Husaini mendapat tempat kedua, manakala Nadia pula di tempat ketiga. – Getaran, 7 Disember 2022