Masih mengekalkan konsep muzik rancak, Dolla menyulam genre pop dan irama tradisional untuk lagu raya pertama mereka yang berjudul 'Raya, Raya, Raya'.
Lagu ciptaan bersama Kalerj, Ajay Amai, Mike Chan, Glow Rush, Nick Arif, Acap Salim dan Somean K-Clique ini bukan sahaja memperlihatkan kebolehan Dolla dalam menyanyikan lagu pop yang rancak, malah lagu yang mempunyai unsur tradisional.
Dolla yang dianggotai empat gadis muda – Sabronzo, Angel, Tabby dan Syasya – telah membuktikan mereka berani bereksperimen dan mampu membawa lagu yang berbeza dari sebelumnya, seperti lagu mereka ‘Make You Wanna’ dan ‘Impikan’.
Lagu ini menyentuh tentang gaya tradisional dan moden dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Perkembangan teknologi yang pesat sangat mempengaruhi golongan milenial pada hari ini, terutamanya media sosial dan hubungan antara keluarga dan rakan sebaya.
“Pengalaman merakam muzik video sangat menyeronokkan kerana kami berpakaian seperti di era retro. Oleh kerana kami empat gadis dengan gaya dan idea nyanyian yang berbeza, warga kerja sangat terbuka dalam menerima segala jenis cadangan dan perubahan,” ujar Sabronzo.
Tabby pula berpendapat ia miliki rentak lagu raya yang biasa didengari, tetapi masih mempunyai sentuhan watak Dolla, “Penuh gelak tawa. Pada mulanya, terasa janggal kerana ia bukan rentak biasa yang kami bawa. Seronok berekprementasi!” jelas gadis kacukan Cina dan Jepun ini.
'Raya Raya Raya' juga menunjukkan sisi lain Dolla, yang lebih ke arah tradisional tetapi masih terasa muda. Angel atau nama sebenarnya Angelina Chai merasakan lagu ini berbeza dengan lagu raya lain. Gadis asal Sarawak ini menggambarkan inilah cara mereka menyanyikan lagu raya.
Bercerita mengenai proses rakaman lagu dan muzik video lagu ini, Angel melahirkan perasaan teruja kerana ia terasa dekat dengan dirinya dan Tabby serta mereka yang tidak pernah menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Ia memberikan saya gambaran perasaan menyambut Hari Raya yang sebenar dan ia amat menyeronokkan!” ucap Angel gembira.
DOLLA masih lagi menari, tetapi lebih kepada menghayati lagu dan jalan cerita. Ia sesuatu yang baharu, bukan sahaja kepada Angel, malah kepada keempat-empat mereka. Angel turut berharap lagu raya ini dapat memberi kegembiraan walaupun kita masih dalam musim wabak COVID-19.
Ahli kumpulan termuda, Syasya pula beranggapan lagu raya ini amat bermakna dan mencuit hati. Dolla yang sangat dikenali dengan imej lincah menari dan bertenaga, manakala 'Raya Raya Raya' berjaya menunjukkan sisi lain Dolla yang lebih gemalai dan sopan santun.
“Pengalaman merakamkan lagu ini memang sangat seronok dan penuh dengan riang tawa. Ia memperlihatkan kelainan vokal dan gaya setiap ahli Dolla. Harapan saya agar lagu ini membawa kenangan manis sewaktu peminat dan pendengar menyambut Hari Raya nanti.”
“Walaupun COVID-19 banyak menghalang kita daripada melakukan pelbagai aktiviti-aktivit kebiasaan di Hari Raya, namun saya berharap agar semua pendengar dan peminat dapat menari dan menghayati kegembiraan bersama-sama semasa mendengar lagu kami,” senyum Syasya.
'Raya Raya Raya' boleh didengari di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan Youtube rasmi DOLLA. – Getaran, 5 Mei 2021
Semua gambar: Sadiq Asyraf Mohd Yusof