ALOR SETAR - Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan sama ada kewujudan Muafakat Nasional (MN) yang diperkenalkan PAS dan UMNO kini sudah berperanan seperti hantu atau ‘Zombie’.
Menurutnya, persoalan itu timbul susulan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa MN pada masa ini 'tidak nampak hidup tetapi tidak mati'.
“Kalau hidup tidak, mati pun tidak, ini sudah dikira berhantu. Bagi saya ia sesuatu yang sangat berbahaya kerana ‘hantu’ ini boleh mengusik seluruh Malaysia.
“Saya anggap kedudukan MN ini mungkin macam Zombie. Jadi mana-mana parti terbabit (PAS dan UMNO) itu jika diberi undi oleh rakyat di Johor, ia mungkin memberi impak lebih buruk kepada masa depan negara kita,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan pemberian bantuan awal persekolahan kepada pelajar dari golongan kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang di Medan Selera Hutan Kampung di sini, hari ini.
Terdahulu, Tuan Ibrahim dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ceramah di Simpang Jeram, Johor malam tadi mendakwa, MN masih tidak mempunyai kubur atau batu nisan dan sehingga kini belum ada sesiapa pun yang mengisytiharkan bahawa gabungan itu sudah ditamatkan.
Secara prinsipnya Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, MN walau tidak nampak hidup, ia tidak mati dan sampai ke saat ini masih belum lagi berada dalam unit rawatan rapi (ICU).
Mahfuz menambah, kenyataan Tuan Ibrahim itu juga secara tidak langsung memberi kesan terhadap lafaz ikrar dan sumpah anti rasuah dilaksanakan 56 calon PN, termasuk PAS di Johor semalam.
“Dari dulu saya dah sebut bahawa PAS memang asyik merengek untuk terus bersama dengan UMNO. Mereka memang tak boleh nak lepaskan diri daripada UMNO dan masih mahu menerima parti dipimpin kluster mahkamah itu, tidak ubah seperti orang gila talak.
“Adalah jelas bahawa kenyataan Tuan Ibrahim itu gagal memberi jaminan bahawa selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, UMNO dan PAS tidak akan menjalin kerjasama melalui ‘scheme of things’. Jadi ikrar yang dilafazkan PN termasuk calon PAS semalam bagi saya adalah ikrar palsu,” katanya. -Getaran 4 Mac 2022.