KUALA LUMPUR - UMNO mengesahkan surat jemputan tular mengenai pertemuan khas antara Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lusa adalah benar.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pertemuan tersebut dijangka akan turut dihadiri semua ketua UMNO bahagian serta sayap PEMUDA, WANITA dan PUTERI bahagian parti itu.
Menurutnya, pertemuan itu akan diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
“Saya ingin mengesahkan pada Selasa ini akan ada perjumpaan sebagaimana terkandung dalam surat tular yang mempunyai tandatangan saya itu.
“Ini bermakna pada Selasa nanti, perjumpaan tersebut dihadiri 764 wakil terdiri daripada ketua bahagian, ketua WANITA bahagian, ketua PEMUDA bahagian dan ketua PUTERI bahagian yang mewakili 191 bahagian UMNO dari seluruh negara,” katanya, hari ini.
Terdahulu, Getaran melaporkan Ahmad Zahid dijangka mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa ini, selepas surat tersebut tular di media sosial sejak semalam.
Surat itu antara lain memaklumkan, pertemuan berkenaan akan diadakan pada jam 2 petang.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pertemuan tersebut dilakukan demi memfokuskan kepada persiapan bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini.
Jelasnya, Ahmad Zahid dan Ismail Sabri akan menjadi jurucakap utama pada pertemuan tersebut.
“Kedua-dua figura itu akan berucap pada perjumpaan khas nanti. Mereka akan jadi jurucakap utama.
“Perjumpaan khas ini bukan rahsia kerana ia adalah perjumpaan untuk membincangkan mengenai persiapan PRU-15.
“UMNO sudah memohon untuk diadakan pada tahun ini juga. Tetapi kalau dicongak bukanlah kita mahu diadakan ketika banjir,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan soal calon PRU-15 akan disentuh ketika pertemuan itu.
“UMNO belum muktamadkan berkenaan calon, tetapi kita perlu dengar dahulu apa hendak disampaikan kedua-dua pimpinan utama ini.
“Bagaimanapun, UMNO tetap menggariskan ciri calon ‘wali’, iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) dan ‘likeable’ (disenangi), seperti ditetapkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini,” katanya. - Getaran, 2 Oktober 2022