JASIN - BERSATU Bahagian Jasin lumpuh, selepas sebahagian besar barisan pemimpin bahagian dan cawangannya mengumumkan keluar parti, berkuatkuasa serta-merta.
Langkah itu diketuai Ketua Srikandi BERSATU Melaka, Azalina Abdul Rahman bersama Timbalan Ketua BERSATU bahagian, Mustaffar Ahmad.
Turut mengumumkan keluar parti ialah semua ahli jawatankuasa (AJK) BERSATU bahagian, AJK Srikandi BERSATU bahagian, Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Melaka, Rohani Ahmad serta beberapa kepemimpinan Srikandi BERSATU bahagian Hang Tuah Jaya.
Azalina berkata, pimpinan Srikandi BERSATU di empat daripada enam bahagian di Melaka juga turut mengambil langkah sama.
Keputusan berkenaan bermakna sejumlah 320 ahli akan meninggalkan parti tersebut.
"Antara pimpinan tertinggi bahagian BERSATU Melaka yang turut melepaskan jawatan termasuk Timbalan Ketua Bahagian, Setiausaha Bahagian serta semua jawatankuasa bahagian.
"Langkah yang dibuat susulan hala tuju parti yang dilihat samar-samar dan (keputusan) ini juga melibatkan sekurang-kurangnya 30 cawangan BERSATU seluruh negeri," katanya menerusi sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ketua Srikandi Bahagian Jasin berkata, amat menghairankan apabila calon Pilihan Raya Umum (PRU-15) bagi Perikatan Nasional (PN) bukanlah ahli kepada mana-mana bahagian atau cawangan BERSATU.
Beliau juga mengakui kecewa tidak tercalon, apabila kepimpinan tertinggi PN memilih ahli PAS, Zulkifli Ismail yang bukan merupakan anak tempatan.
“Pelapis masa hadapan yang dilihat lebih kuat bekerja membantu menaikkan nama parti diketepikan dan ini jelas menampakkan BERSATU tidak adil kepada pemimpin parti sendiri.
“Jika pemimpin parti sendiri tidak diberi ruang dan kepercayaan, bagaimana dengan nasib suara ahli bawahan seperti kami? Ini telah menjejaskan kepercayaan saya terhadap corak kepimpinan parti yang dilihat gagal mendengar suara dan memperkasa ahli partinya sendiri,”katanya.
Ditanya berkenaan sokongan kepada calon parti lain sepanjang kempen PRU-15, beliau berkata, perkara berkenaan adalah hak peribadi setiap individu.
Namun katanya, jawatankuasa bahagian itu bersedia untuk membantu calon anak tempatan iaitu calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin, Datuk Roslan Ahmad.
“Pendirian kami, terpulang kepada masing-masing kerana apa yang berlaku ini bukan sahaja di Jasin. Jika kami diminta membantu kemenangan asalkan bukan Pakatan Harapan (PH), kami akan bantu,”katanya.
Sementara itu Timbalan Ketua Bahagian Jasin, Mustaffar Ahmad berkata, kelemahan badan pimpinan negeri mempertahan kerusi BERSATU di Parlimen Tangga Batu dan Jasin, apabila melepaskan ia kepada rakan komponen adalah satu tindakan yang tidak bijak.
“Kami akar umbi melahirkan rasa kecewa (atas) keputusan pimpinan negeri dan pimpinan pusat yang tidak bijak mengatur politik di Melaka.
"Hasrat BERSATU kononnya untuk mengangkat suara anak muda ke tahap lebih tinggi turut dilihat hanya retorik semata-mata,” katanya. - Getaran, 5 November 2022.