SUNGAI UDANG - Barisan Nasional (BN) komited dengan keputusan mengekalkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, sekiranya gabungan itu berjaya mendominasi kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera parti diminta jangan termakan dakyah parti lawan yang mendakwa, BN tidak akan merealisasikan perkara itu.
Menurut beliau, ahli akar umbi seharusnya tidak meragui keputusan kepemimpinan tertinggi BN yang sebulat suara dan sepakat mengekalkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
"Tentunya UMNO dan BN buat keputusan, kita akan terus komited untuk menentukan bahawa Perdana Menteri kita adalah Perdana Menteri (Ismail Sabri) yang sedang menjalankan tugas dengan baik di Putrajaya sekarang ini.
"Jangan timbul spekulasi atau ramalan, jangan cucuk mencucuk di antara kami. Kita tiada langsung masalah. Jadi, semua jentera harus memberi kemenangan mutlak kepada calon BN," katanya ketika berucap kepada jentera parti di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, semua ahli UMNO dan BN perlu mewujudkan perpaduan yang kukuh berikutan majoriti rakyat mahukan gabungan itu kembali memerintah di Putrajaya.
Menurut Presiden UMNO itu, adalah satu kerugian sekiranya rakyat Malaysia masih memilih Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kerana BN mempunyai track record yang baik sepanjang 62 tahun memerintah negara.
"Saya yakin apabila teruji ketidakcukupan kerusi pada PRU-14, maka rakyat telah menderita. Rakyat telah sengsara apatah lagi apabila negara ini ditadbir kerajaan gagal selama 17 bulan. Mana ada negara dalam dunia ini yang mengalami COVID-19 mengisytiharkan darurat.
"Hanya di Malaysia sahaja diisytiharkan darurat sehingga Parlimen digantung. Jika ada niat nak jadi Perdana Menteri buat kali kedua, itu hanya bermimpi di siang hari," katanya, sinis.
Ahmad Zahid berkata, BN juga akan memastikan sekolah di seluruh negara menerima liputan Internet 5G dalam tempoh 18 bulan sekiranya BN menang pada PRU-15 19 November nanti.
Jelasnya, skim khas juga akan diwujudkan oleh BN kepada individu bekerja dalam sektor ekonomi gig, demi membuktikan gabungan itu prihatin terhadap industri tersebut, khususnya generasi muda.
"Kita lancar latihan kemahiran (untuk pelajar yang) tidak masuk ke Universiti Awam (UA) dan tentukan pekerjaan diberi kepada mereka, termasuk peluang pinjaman jika menjadi usahawan muda, selain mewujudkan pelbagai industri lebih luas di Melaka.
"Tiada kerajaan dapat lakukan. Dua Menteri, Ketua Menteri bersilih ganti namun dalam tempoh terdekat, kerajaan negeri kita dapat terjemahkan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, Ismail Sabri kekal dinamakan sebagai poster boy BN pada PRU-15 dan calon Perdana Menteri.
Tegasnya, pendirian gabungan berkenaan berhubung ketetapan itu kekal tidak berubah sekiranya BN berjaya memenangi pilihan raya kali ini. - Getaran, 10 November 2022