TANGKAK - Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat terhadap penceramah Perikatan Nasional (PN) kerana mendakwa sesiapa sahaja yang mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan dihumbankan ke dalam neraka.
Beliau berkata, kenyataan Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir mampu memecah belah perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Menurut beliau, kenyataan itu membuktikan PAS masih menggunakan strategi sama dengan menunggang agama bagi mengugut pengundi, khususnya kaum Melayu setiap kali pilihan raya dilakukan.
“Selama ini mereka semua boleh bebas sahaja (dengan) maki orang Cina, fitnah kaum India, takutkan Melayu. Saya nak bagitahu kawan-kawan di Ledang dan di luar , saya dan peguam akan tengok ucapan PAS itu yang kata kalau undi BN dan PH masuk neraka, dan dalam beberapa hari lagi saya akan buat laporan polis dan SPR.
“Kita tidak boleh biarkan orang macam ini. Dia ingat dia hasut orang, ugut guna agama untuk menakutkan orang Melayu (di) kampung akan terlepas daripada undang-undang. Kali ini bukan orang bawahan namun Timbalan Presiden PKR akan membuat (laporan) terhadap PAS,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia Parlimen Ledang di Bukit Gambir, di sini, malam tadi.
Rafizi yang juga alon PH Pandan itu turut memberi amaran kepada PAS agar tidak mewujudkan provokasi bermotifkan sentimen agama dan perkauman.
“Lain kali kalau nak masuk pilihan raya, cakap dengan pengundi macam mana nak bantu pengudi, beritahu mereka kalau jadi menteri apa rancangan PAS untuk Melayu, CIna dan India.
“Jangan lagi menggunakan arahan yang menunggang agama dan mengatakan orang itu akan masuk neraka, orang ini kafir (atau) undi (BN dan PH) tak masuk syurga,” katanya.
Jelasnya, tindakan pemimpin PAS itu juga dilihat seperti ‘bercakap tidak serupa bikin’ dan mampu mengelirukan pengundi, termasuk di Sabah berikutan parti itu menggesa penyokongnya di negeri terbabit agar memberikan undi kepada UMNO.
“UMNO pun pening kepala dengan PAS. Ada masalah besar khususnya PAS di Sabah disebabkan di Semenanjung parti itu kata lawan UMNO, tetapi di negeri itu PAS tidak bertanding, malah mengeluarkan arahan (untuk) pengundinya memilih UMNO dan BERSATU.
“Bagaimana pula begitu? Cakap undi BN nanti masuk neraka tapi di Sabah ni maksudnya mereka masuk neraka lah sebab disuruh mengundi gabungan terbabit,” katanya.
Mengulas perkara berbeza, Rafizi memaklumkan PH muncul di tangga pertama dalam meraih undi masyarakat pelbagai kaum berikutan pergaduhan dalaman BN yang masih berlaku sehingga hari ini.
Lantaran itu, beliau menyeru setiap ahli jentera dan akar umbi PH bersungguh-sungguh dalam kempen yang hanya berbaki seminggu, demi memastikan momentum itu berterusan agar PH mampu mengekalkan kemenangan pada PRU-14.
“Pandangan saya kempen seluruh negara BN akan terus bermasalah. Kalau satu minggu kempen BN masih tidak berjalan seperti kapal terbang tiada enjin, masuk Sabtu Ahad kempen gabungan itu makin teruk, kita dah boleh selesaikan persaingan dengan BN.
“Namun, satu minggu dari sekarang, saya akan tumpu kepada untuk melawan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak memainkan isu perkauman untuk takutkan Melayu undi PH. BN memang bermasalah (kerana) kempennya tidak menjadi, tetapi kena berhati-hati dengan BERSATU dan PAS,” katanya. - Getaran, 12 November 2022