PORT DICKSON - Langit cerah membiru dan terik mentari tidak begitu terasa.
Angin pula bertiup sepoi-sepoi bahasa, amat menyegarkan dan cuaca seperti ini, amat sesuai untuk aktiviti bersiar-siar atau berkelah di tepi pantai.
Enggan melepaskan detik keemasan itu, warga Negeri Sembilan dari segenap daerah berpusu-pusu membanjiri dua pantai terkemuka di daerah ini, yang sememangnya dikenali sebagai antara destinasi percutian tersohor negara.
Kunjungan beramai-ramai itu sekali gus mengembalikan kemeriahan dan memberi ‘nyawa’ kepada Pantai Saujana dan Pantai Teluk Kemang yang sebelum ini sunyi, seolah-olah ‘mati’ dek penangan COVID-19.
Deretan khemah menghiasi persisiran kedua-dua pantai semasa tinjauan Getaran pada Khamis lalu turut menandakan, ramai pengunjung yang membuat keputusan untuk bermalam di situ.
“Ini kali pertama saya dan anak-anak keluar makan angin sejak terpaksa berkurung dan terperap di rumah dari tahun lalu. Lega rasanya dapat keluar,” ujar seorang ibu tunggal yang sedang melayan telatah anaknya bermain pasir di Pantai Saujana.
Beliau yang enggan dikenali berkata, kesempatan menghirup udara segar sedikit sebanyak membantu dirinya melupakan sejenak kesukaran yang terpaksa ditempuh akibat pandemik berkenaan.
Meskipun suasana di kedua-dua pantai disulami keceriaan dan gelak ketawa, golongan peniaga yang mencari rezeki di lokasi terbabit tetap berasa risau.
“Kami penjaja dan peniaga di PD (Port Dickson) tidak boleh mengharapkan pelancong dalam negeri semata,” keluh Mohd Saifuddin Abu Bakar yang membuka gerai jualan barang dan mainan riadah pantai.
“Bagaimana pun, saya bersyukur orang sudah mula berkunjung ke pantai susulan kelonggaran rentas daerah yang diberikan baru-baru ini,” tambahnya yang sudah 11 bulan hilang mata pencarian kerana tidak dapat berniaga di Pantai Saujana.
Sebagai permulaan, gelembung pelancongan hanya dibuka untuk Pulau Langkawi sejak 16 September lalu, khusus buat pengunjung yang sudah melepasi tempoh matang dos kedua vaksin COVID-19 masing-masing.
Ia bagaimanapun tidak terpakai jika pelancong berkenaan datang dari kawasan yang berada di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
Orang ramai turut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu menjalani saringan kesihatan sebelum dibenarkan menaiki pesawat.
Pada hari pertama projek perintis itu bermula iaitu Khamis lalu, lima pelancong dihalang daripada memasuki Langkawi setelah disahkan positif COVID-19.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin dilaporkan berkata, kerajaan akan membuka lebih banyak destinasi pelancongan sekiranya projek perintis tersebut mencatatkan prestasi cemerlang.
Itu jugalah yang menjadi doa dan harapan pemain industri pelancongan di Port Dickson.
Pengurus ladang dan zoo haiwan jinak PD Ostrich Show Farm, Chris Lee, 65 berkata, perniagaannya terganggu apabila kerapkali ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dalam 12 bulan jugalah saya terpaksa mengharungi ketidaktentuan itu dan walaupun terpaksa ditutup, kami masih perlu mengeluarkan kos penyelenggaraan untuk membeli dedak haiwan serta baja pokok.
“Kosnya meningkat setiap bulan kerana tak banyak kapal yang berlabuh akibat COVID-19,” kata Chris yang sebelum ini berkerja sebagai wartawan New Straits Times.
Bagaimanapun, seperti Mohd Saifuddin, Chris juga percaya bahawa senario pelancongan semakin pulih memandangkan premis diusahakannya kembali menjadi tumpuan.
Secara perbandingan, situasi COVID-19 di Negeri Sembilan kelihatan lebih terkawal berbanding negeri Selatan tanahair yang lain, memandangkan ia adalah satu daripada empat negeri yang memasuki Fasa Ketiga dalam Pelan Pemulihan Negara.
Tiga lagi negeri Fasa Ketiga itu adalah Perlis, Terengganu dan Sarawak.
Dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pula, perlanggaran peraturan jelas kelihatan apabila majoriti pengunjung di Port Dickson sama sekali tidak mengenakan pelitup muka.
Penjarakan sosial juga tidak diambil berat apabila orang ramai dilihat saling berkerumun, khususnya di Teluk Kemang tanpa menghiraukan risiko penularan virus COVID-19,
Pengusaha sukan air, Mohd Nasirin Nasir berkata, orang ramai akan diarahkan supaya kembali memakai pelitup muka sebaik selesai melakukan aktiviti air diingini.
“Kami faham, memakai pelitup muka semasa beriadah di pantai adalah perkara yang tidak masuk akal tetapi, sebaik sahaja mereka naik ke darat, kami akan meminta mereka untuk segera berbuat demikian,” katanya.
Menurut beliau, pihak berkuasa tempatan (PBT), polis dan pegawai dari Jabatan Penerangan juga kerap meronda bagi mengingatkan orang ramai agar mematuhi SOP.
“Kami juga akan memainkan peranan untuk memastikan pengunjung mematuhi SOP, kerana peniaga yang mencari makan di sini mahukan pantai ini sentiasa dibuka,” katanya, yang mengusahakan perniagaan itu sejak di bangku sekolah lagi. - Getaran, 21 September 2021.