KUALA LUMPUR - Satu suruhanjaya bebas wajar ditubuhkan bagi menyiasat secara terperinci isu membabitkan golongan doktor kontrak di Malaysia.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, tindakan diambil kerajaan terhadap pegawai perubatan awam terbabit ketika ini tidak memberi sebarang kesan positif yang mampu memastikan kerjaya mereka terjamin.
Tegas beliau, pelbagai pendekatan proaktif perlu dilaksanakan bagi memastikan doktor kontrak dapat diserap ke dalam perjawatan tetap dengan segera.
“Satu suruhanjaya boleh ditubuhkan kerana isu ini sudah terlalu lama dan pelbagai perbincangan telah pun dibuat. Jadi, kerajaan kena lihat semula, masih ada ruang buat kerajaan membantu mereka.
“Suruhanjaya bebas itu akan dapat meneliti dengan lebih mendalam serta melakukan perbincangan bersama doktor kontrak dalam mendengar cadangan daripada mereka bagi menyelesaikan isu ini kerana sudah terlalu lama berlanjutan,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi, hari ini.
Getaran semalam melaporkan, doktor kontrak di seluruh negara akan menjalankan protes secara aman kali kedua Disember depan, jika tuntutan yang dikemukakan tidak diselesaikan kerajaan dalam tempoh ditetapkan.
Ia susulan pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilihat gagal menyelesaikan isu membabitkan golongan berkenaan di negara ini.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr Mustapha Kamal A Aziz berkata, pihaknya menuntut kerajaan menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada, dan memohon penjelasan terperinci berhubung kriteria pelantikan.
Gerakan itu juga melalui kenyataan media di Twitter malam tadi memaklumkan, tiada langkah tanggungjawab penuh diambil kerajaan bagi menyelesaikan masalah berkenaan, malah tawaran diberikan juga tidak masuk akal dan sekadar membuang masa.
Mengulas lanjut, Dr Zainal mengharapkan agar sistem kesihatan awam tidak terjejas jika mogok tersebut diteruskan oleh Gerakan Hartal Doktor Kontrak.
“Mereka boleh lakukan rundingan dan meluahkan ketidakpuashatian bersama kerajaan baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Apapun, tindakan itu tidak boleh menjejaskan perkhidmatan, nyawa orang ramai dan sebagainya. Kita pun tidak boleh menolak permintaan yang doktor kontrak mahukan daripada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, beliau tidak menolak pandangan bahawa negara bakal kekurangan tenaga pakar dan berdepan sistem kesihatan yang mundur pada masa depan jika isu doktor kontrak tidak diselesaikan dengan segera oleh pihak berwajib.
Pada masa sama Dr Zainal menegaskan, sistem dan kualiti kesihatan bakal menurun, sekali gus memberi kesan negatif kepada rakyat.
“Melihat situasi sistem kontrak di Malaysia, ramai doktor yang merasakan bahawa masa depan mereka untuk mendapatkan kepakaran tidak dijamin.
“Ini akan memberi kesan kepada negara di masa hadapan kerana tidak ramai anak-anak muda nanti yang mahu menjadi doktor atau menyertai perkhidmatan kesihatan awam. Jadi, kepakaran kita pastinya akan terjejas,” katanya.
Terdahulu, Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen baru-baru ini mengumumkan, kerajaan bersetuju melanjutkan perkhidmatan kontrak bagi 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi untuk tempoh maksimum empat tahun, berbanding dua tahun ketika ini.
Ia bertentangan dengan desakan Hartal Doktor Kontrak sebelum ini, yang menuntut jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak atau baharu, selain pemberian hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah. – Getaran, 3 November 2021.