KUALA LUMPUR - Runtuhan tanah yang menyekat aliran sungai dikenal pasti menjadi punca berlakunya banjir luar biasa di Lembah Klang, baru-baru ini sehingga menjejaskan puluhan ribu rakyat.
Perkara itu diakui oleh Pakar Geologi, Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo selepas melakukan tinjauan bersama Kumpulan Ahli Geologi Negara ke tapak kejadian tanah runtuh di Sungai Pencala dan banjir besar Sungai Lui, Selangor, baru-baru ini.
Ibrahim berkata, terdapat dua tanah runtuh besar bersaiz 40,000 dan 50,000 meter padu yang berlaku di Sungai Pencala, menyebabkan lebih 15 rumah musnah serta memaksa 250 penduduk dipindahkan.
Jelasnya, ratusan tanah runtuh dan aliran puing (kayu kayan dan batu batan) bersaiz kecil hingga besar berlaku pada hari sama berlakunya kejadian banjir besar, sekali gus menyebabkan kerosakan.
“Oleh itu, timbul pertanyaan di pihak kami, apakah kemusnahan besar-besaran hanya disebabkan oleh banjir, atau terdapat proses berantai (cascading) yang bertanggungjawab menghasilkan bencana dahsyat ini?
“Peristiwa banjir besar Kelantan 2014, dan banjir ‘kepala air’ di Gunung Jerai 2020 telah memberikan pengajaran penting, hujan lebat serta banjir sahaja tidak mempunyai tenaga yang boleh memusnah prasarana besar di dataran banjir, namun bahan puing di samping lumpur itu menjadi puncanya,” katanya, hari ini.
Ibrahim yang juga Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian Akademi Profesor Malaysia (APM) menegaskan, kejadian banjir besar di Sungai Lui menyamai fenomena yang berlaku di hulu Sungai Kelantan pada tahun 2014.
Ketika melakukan tinjauan, beliau mendapati kayu kayan serta lumpur masih memenuhi jalan tersebut dan menjadi penyebab kemusnahan di luar jangkaan beberapa kediaman dalam kawasan berkenaan.
“Kenaikan air mendadak juga mungkin berpunca daripada puing yang tersekat membentuk ‘empangan sementara’, pecah lalu menyebabkan luruan air banjir besar. Semua fenomena ini kami tafsirkan berdasarkan cerapan lapangan, dan perlu diteliti, sebelum disokong dengan kajian lanjutan.
“Hujan lebat di kawasan tropika, khususnya di negara kita memang menjadi pencetus utama bencana alam iaitu banjir dan tanah runtuh. Lazimnya, kedua-dua fenomena itu dilihat secara berasingan di samping bencana geologi berantai yang masih belum diberikan perhatian,” katanya.
Sehubungan itu, Profesor Geologi Kejuruteraan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berpandangan, peristiwa banjir besar dan berlumpur yang berlaku mempunyai kaitan rapat dengan gabungan fenomena alam.
“Hujan lebat berterusan menyebabkan tanah di kawasan pergunungan tepu air dan mudah tergelincir. Oleh kerana kuantiti air yang tinggi di hulu lembah sungai, tanah runtuh bertukar menjadi aliran puing, berikutnya menjadi banjir puing dan disusuli dengan banjir lumpur.
“Bencana yang dikaitkan dengan Banjir Besar Lembah Klang pada tahun ini adalah gabungan antara tanah runtuh di Sungai Pencala, aliran puing di hulu Sungai Lui, banjir puing di lembah Sungai Lui dan banjir besar di kebanyakan kawasan rendah lain di Shah Alam dan Klang,”katanya.
Sementara itu, bagi menangani isu bencana alam secara jangka panjang Ibrahim berkata, mengenal pasti punca dan jenis bencana di samping mengambil pendekatan pengurangan risiko bencana berpotensi menjadi mekanisme yang efisien, kerana peristiwa itu mampu menjadi pengajaran untuk hidup harmoni bersama alam.
“Setiap peristiwa bencana bukan sekadar penyebab kematian, kerugian dan kerosakan harta benda, tetapi di sebaliknya terkandung pengajaran untuk hidup harmoni bersama alam, menghayati kebesaran Ilahi,” katanya. – Getaran, 29 Disember 2021.