KUALA LUMPUR - Penjelasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu tentang kejadian yang menyebabkan beliau ditahan selepas ujian saringan air kencingnya positif dadah semalam, menjadi bahan ketawa netizen di media sosial.
Majoriti warga maya yang memberikan komen di Facebook pemimpin itu menyifatkan, penjelasan Terence tak ubah seperti menegakkan benang basah.
"Yang Berhormat (YB) tak bersalah, dadah tu yang bersalah kerana masuk ke dalam badan YB, tolong la penyokong DAP percaya dalam drama ni,” kata Mie Azmi.
"Hahaha orang politik biasa menipu, Tak kan la pihak polis nak menipu pasal urine dan kalau YB tidak bersalah sangat, cuba saman malu kepada pihak polis kalau tidak bersalah.
"Rakyat dan penyokong YB akan sokong kalau tidak bersalah tapi kalau YB tidak ambil tindakan saman malu kepada orang yang mengenakan YB means YB memang bersalah," kata pula Manju Mikan secara sinis.
Dalam pada itu, terdapat netizen yang mempersoalkan kenyataan Terence dan mendakwa, sudah pasti isu tersebut akan menjadi panas sekiranya perbuatan itu dilakukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Wah, pandai pula main sentimen ‘innocent until proven guilty’, dulu time Najib sedap pulak tuduh macam sebelum perbicaraan," kata Zheng He.
"Kalau Najib, confirm salah, tapi kalau DAP, semua frame. Rasuah 10% frame, banglo frame, rogol amah frame, letak jawatan kalau tak serah PM pada Anwar pun frame.. DAP parti suci la kononnyaaaa," kata pula Zatie Ishak.
"Kalau DAP semuanya serba tak kena.. ini kalau Najib yang buat, habis teruk kena dengan DAP tapi bila ahli sendiri buat hal, ianya seperti dipandang sepi," sindir Syanaz Rahim di Facebook.
Terdahulu, Terence mendakwa ‘diperangkap’ seseorang yang memasukkan sesuatu ke dalam minumannya, ketika beliau mengunjungi sebuah pusat hiburan di Perai, baru-baru ini.
Beliau berkata, dirinya mengunjungi premis itu selepas dipelawa rakan yang juga kliennya untuk makan bersama bagi meraikan Tahun Baharu Cina.
“Saya teragak-agak untuk masuk ke premis terbabit, namun akhirnya bersetuju.
“Ketika serbuan, saya terkejut apabila dimaklumkan ujian air kencing saya positif kerana saya ini merokok pun tidak,” katanya.
Menceritakan kejadian itu, Terence berkata, ketika berada di premis berkenaan, beliau dihidangkan minuman ‘aneh’ dan sempat merasainya sedikit.
Jelasnya, sehari selepas penahanan itu, beliau dimaklumkan seorang saksi bahawa terdapat individu mencurigakan yang mengisi gelas minumannya ketika beliau ke tandas.
“Selepas dibebaskan daripada tahanan, saya membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut dan saksi itu juga sudah memberi kenyataan kepada pihak berkuasa.
“Saya akan tetap mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah,” katanya.
Pada masa sama, wakil rakyat yang sudah berkhidmat selama dua penggal di Pasir Bedamar itu memohon maaf kepada pengundi kawasan itu, selain berjanji akan terus menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin.
Malah, beliau memaklumkan akan memberikan penjelasan kepada DAP Perak berhubung perkara itu dan bersedia berdepan segala kemungkinan hukuman daripada parti, termasuk tindakan tatatertib. - Getaran, 16 Januari 2022.