KUALA LUMPUR - Terpulang kepada Datuk Seri Najib Razak bagi menjawab kisah di sebalik gambar tular mantan Perdana Menteri itu di media sosial dengan seorang wanita yang didakwa pelbagai pihak sebagai isteri keduanya.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, terdapat keperluan buat Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu mendedahkan perkara berkenaan sekiranya benar kerana rakyat turut mempersoalkannya.
“Rakyat Malaysia kini sedang tertanya-tanya dan bukan saya sahaja mahu mengetahuinya. Apa yang diketahui, setakat ini Datuk Seri Najib belum lagi menjawab bagi menjelaskan perkara tersebut.
“Ini satu perkara yang baik, tiada salahnya dan saya tak ada apa-apa motif pun. Kalau betul, saya akan doakan dia bahagia. Apapun, untuk kepastian, kena tanya sendiri Datuk Seri Najib Razak. Kalau saya yang silap, dia boleh betulkan,” katanya ringkas kepada Getaran, hari ini.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu berkata demikian bagi mengulas berkenaan ucapan selamat pengantin baru ditulisnya kepada Najib di ruangan komen pada hantaran Facebook mantan Perdana Menteri terbabit, semalam.
Penularan gambar memaparkan Najib dan seorang wanita yang memegang erat lengannya sambil diapit beberapa individu di media sosial sejak beberapa hari lalu, mencetuskan kekecohan pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik serta netizen.
Gambar seolah-olah mereka merakamkan foto keluarga ketika menyambut majlis keraian itu, turut menimbulkan spekulasi adakah Ahli Parlimen Pekan terbabit memiliki isteri baharu walaupun masih berkahwin dengan Datin Seri Rosmah Mansor.
Biarpun menjadi isu hangat, sehingga kini Najib masih mengunci mulut dan sikapnya itu mencetuskan persoalan kerana beliau dikenali sebagai individu yang aktif mengulas sesuatu isu berkaitan dirinya di media sosial.
Namun, penularan gambar itu tidak terlalu mengejutkan bagi segelintir pihak kerana khabar angin bahawa Najib berkahwin baru sudah diperkatakan sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, mantan pegawai khas Najib, Isham Jalil menegaskan sekiranya perkara berkenaan tidak benar, individu yang menyebarkan foto tersebut perlu segera memohon maaf kerana menimbulkan fitnah.
“Saya tumpang gembira sekiranya benar gambar itu betul Datuk Seri Najib sudah berkahwin lain. Sekiranya dia bahagia, saya akan tumpang gembira untuknya.
“Jika ia tidak betul, saya harap orang yang buat berita palsu itu agar cepat-cepat minta maaf kepada Najib dan keluarganya,” katanya.
Beliau juga seolah-olah tidak menolak kemungkinan Najib sudah berkahwin selepas menyatakan mantan Presiden UMNO itu sejak beberapa tahun kebelangkangan ini, menempuh pelbagai dugaan dan beliau berhak untuk memilih kebahagian buat dirinya.
“Saya sendiri setia kepada pasangan. Tahun ini saya sudah 20 tahun berkahwin. Bagaimanapun, setiap perjalanan hidup untuk setiap orang itu berlainan. Dan undang-undang tidak menghalang orang untuk berkahwin lebih dari satu.
“Apa-apa pun, setakat ini sahaja yang saya akan komen berkenaan hal peribadi dan rumah tangga orang lain dalam isu ini,” katanya.
Terdahulu, sebelum berkahwin dengan Rosmah, Najib mendirikan rumah tangga bersama Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar pada 1976 ketika beliau berusia 23 tahun.
Selain itu, menerusi Twitter, netizen memberi pelbagai reaksi terhadap khabar angin itu, termasuk ada yang seperti merestui ‘perkahwinan Najib’, manakala segelintir masih seakan-akan tidak percaya.
Manakala ada netizen menyiarkan perkongsian pihak tertentu mendakwa wanita itu sememangnya isteri Najib yang sebelum ini bertugas sebagai kru penerbangan dan mereka diperkenalkan seorang ahli keluarga
Setakat ini, Getaran sudah mendapatkan maklumat serta sumber daripada pemimpin tertinggi UMNO Pahang, namun pihak berkenaan bertegas enggan mengulas perkara terbabit dan meminta supaya mendapat maklumat daripada Najib sendiri.
“Saya tak mahu ulas perkara tersebut. Kalau ingin tahu isu terbabit, sila tanya sendiri dengan Datuk Seri Najib untuk kepastian,” katanya. – Getaran, 20 Mei 2022