SUNGAI PETANI - Selepas lebih sebulan menjadi mangsa amang seksual rakan sekolahnya, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun akhirnya memiliki kekuatan untuk membuat laporan polis Jumaat lalu, bagi membolehkan perkara terbabit disiasat.
Menerusi laporan dibuatnya itu, mangsa mendakwa kejadian tersebut turut disaksikan lapan lagi remaja lelaki, dengan seorang daripada mereka merakam perbuatan jijik berkenaan.
Sehubungan itu kata sumber, polis sudah pun menahan sembilan remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun bagi membantu siasatan.
“Mangsa mendakwa dia pada mulanya diajak seorang rakan perempuan ke rumah tersebut bagi berbincang masalah yang timbul antara mereka, membabitkan isu percintaan dengan seorang remaja lelaki.
“Namun apabila tiba di rumah tersebut, mangsa mendakwa dia ditolak oleh rakan perempuannya itu hingga terjatuh, sebelum diangkat sembilan remaja lelaki yang berada dalam rumah berkenaan ke bilik,” katanya.
Sumber memberitahu, mangsa mendakwa dada dan kemaluannya diraba seorang daripada suspek dalam bilik itu.
“Seorang lagi remaja lelaki dikatakan merakam perbuatan tersebut manakala tujuh yang lain, hanya memerhatikan perbuatan tersebut,” katanya.
Difahamkan mangsa sememangnya mengenali kesemua suspek memandangkan mereka belajar di sekolah yang sama.
Dia dikatakan membuat laporan polis kerana bimbang rakaman video berkenaan tersebar selain tidak berpuas hati dengan perbuatan jijik yang dilakukan terhadapnya.
Sumber menambah, hasil soal siasat awal, seorang daripada remaja lelaki yang ditahan mengaku merakam video berkenaan.
“Bagaimanapun suspek mendakwa dia sudah memadam rakaman tersebut. Dalam masa sama, dia mendakwa telefon yang digunakan bagi merakam perbuatan itu, sudah rosak.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa dan tangkapan yang dibuat ke atas semua suspek.
“Kesemua mereka kini dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan sebelum kes tersebut dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya. - Getaran 1 Jun 2022