KAJANG - Dicucuh dengan pemetik api dan dipukul menggunakan batang penyapu serta penyangkut baju adalah penderitaan yang terpaksa dilalui seorang kanak-kanak, apabila menjadi mangsa dera ibu bapa angkatnya.
Insiden di Taman Perumahan Beranang di sini itu dikatakan bermula daripada tabiat mangsa yang tidak suka makan nasi, menyebabkan dia sering dipaksa hingga muntah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Zaid Hassan berkata, kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun itu berjaya diselamatkan sebaik polis menerima laporan dibuat orang awam, tengah malam tadi.
Menurut beliau, polis menerusi serbuan pada jam 12.14 tengah malam itu berjaya menahan seorang wanita tempatan dan suaminya, rakyat Singapura yang juga ibu bapa angkat mangsa.
"Mangsa yang dikatakan hiperaktif telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan dan doktor mengesahkan kanak-kanak malang itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan,” katanya.
"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca disebabkan tabiat mangsa yang tidak menggemari nasi, menyebabkan dia dipaksa sehingga muntah.
“Kanak-kanak itu juga dikatakan seorang yang hiperaktif,” katanya hari ini.
Mohd Zaid berkata, mangsa ialah anak seorang warganegara Indonesia tanpa sebarang dokumen kerana kelahirannya tidak pernah didaftarkan.
"Kanak-kanak perempuan itu telah diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April lalu kerana ibu kandungnya tidak mampu berbuat demikian,” katanya.
Susulan penahanan, beliau memberitahu bahawa kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai ini, bagi membolehkan kes disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubung mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kes Insp Suresh A/L Krishnan ditalian 017-433 3795," katanya.
Terdahulu, media sosial sejak awal pagi tadi hangat memperkatakan penularan sebuah video, yang memperlihatkan kesan penderaan dialami oleh kanak-kanak itu.
Dimuat naik oleh seorang pengguna di TikTok dikenali sebagai Aqil, video berkenaan memaparkan beberapa kesan lebam yang dialami seorang kanak-kanak disebabkan perbuatan orang tuanya.
Lebih menyayat hati dan kejam, Aqil menerusi video berdurasi 38 saat itu mendakwa bahawa pipi mangsa telah dibakar menggunakan pemetik api.
Pemuda itu ketika dihubungi Getaran menjelaskan, beliau terpaksa secara sembunyi membawa anak malang itu keluar daripada rumah bagi merakam bukti bahawa mangsa sememangnya didera sebelum diserahkan kepada polis.
"Kesian dan bila ditanya memang mummy dan daddy dia yang pukul. Kami juga terdesak membawa dia keluar untuk ambil gambar dan bukti untuk bantu siasatan dan mengukuhkan laporan polis.
"Dia umur (lingkungan) tiga tahun, takkan budak berumur seperti ini nak menipu. Kita nak hak kebebasan terhadap mangsa," katanya. - Getaran, 22 Julai 2022