KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa digesa tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak disyaki terbabit dengan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang boleh menjadi kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Negeri Selangor, Profesor Dr Norhasmah Sulaiman berkata, kerjasama erat antara badan bukan kerajaan (NGO) Selangor bagi mewujudkan kesedaran dan cakna dengan isu penderaan serta pengabaian kanak-kanak yang berlaku dalam masyarakat.
Menurut beliau, wujud keperluan penglibatan daripada kerajaan Selangor menerusi Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) untuk menggerakkan Pasukan Perlindungan Kanak-kanak melalui program yang aktif di 17 Pusat Aktiviti Kanak Kanak (PAKK) di setiap daerah mengikut keperluan masyarakat setempat.
“Promosi secara besar-besaran kepada masyarakat talian ‘hotline’ untuk melaporkan sebarang kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
“Semua pihak perlu mengambil bahagian dalam menangani isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak kerana golongan tersebut adalah bahagian penting masyarakat serta kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Norhasmah berkata, penderaan dan pengabaian kanak-kanak bukan isu baharu, khususnya di Selangor yang mencatatkan kes tertinggi di negara ini
“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor sehingga September 2021, Selangor mencatatkan 1,076 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, seperti dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,” katanya.
Mengulas insiden kanak-kanak perempuan berusia empat tahun disyaki didera ibu angkatnya dalam kejadian baru-baru ini, beliau menegaskan, ia perlu dipandang serius kerana secara jelas melanggar Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara.
Katanya, penderaan kanak-kanak adalah pencabulan atau pelanggaran serius terhadap hak komuniti tersebut untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah, di samping menyebabkan risiko terhadap kelangsungan hidup mereka.
“Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian. Penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal, menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu.
“Penderaan emosi menurut Akta Kanak-Kanak 2001 (berlaku) apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi, mengakibatkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu, seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat,” katanya. - Getaran, 26 Julai 2022