KUALA LUMPUR - Pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar terhadap hukuman sebat yang diguna pakai sebagai warisan sejak zaman penjajah disifatkan sebagai tidak tepat.
Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ini kerana undang-undang British (England) hanya wujud dan terpakai sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.
Menurut beliau, dasar serta peruntukan sebatan sedia ada telah digubal oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat
“Ahli Parlimen seperti Wan Junaidi memilih memasukkan hukuman sebatan, sebagai contoh menerusi Akta Dadah 1976 yang digubal 19 tahun selepas negara merdeka, bukan dilakukan Inggeris. Begitu juga sebatan bagi Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) serta beberapa peruntukan lain bagi Kanun Keseksaan.
“Jadi, tidak molek menunding jari tanpa sebarang fakta asas kerana itu tidak tepat. Inggeris sudah lama keluar sebelum 1957. Kita (pemimpin) sendiri menggunakan kebijaksanaan, budi bicara untuk meletakkan hukuman sebat tertentu sebagai pilihan kepada hukuman penjara, denda dan lain-lain,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi di sini hari ini.
Wan Junaidi jelas beliau, boleh memberi pandangan secara peribadi namun ia perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan salah tanggapan dalam kalangan rakyat.
“Saya percaya ia bukan cadangan kerajaan seperti Wan Junaidi katakan. Sepatutnya dibawa ke kementerian, ditubuh jawatankuasa kecil, buat kertas kerja dan dibawa ke Kabinet untuk ditubuhkan jawatankuasa rasmi,” katanya.
Baru-baru ini Wan Junaidi dilaporkan sebagai berkata, satu jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan bagi membuat kajian serta mendengar input semua pihak, termasuk pemegang taruh terhadap hukuman sebatan yang telah diwarisi sejak zaman penjajah.
Beliau turut mempersoalkan rasional untuk hukuman berkenaan dikekalkan sehingga hari ini.
"Kenapa orang di Malaysia kena sebat, kenapa di England tidak disebat, kenapa undang-undang di England tiada sebat. Jadi kalau dia tiada sebat, kenapa tinggal kita yang masih ada sebat, padahal dua (atau) tiga kali sebatan sudah hancur daging," katanya.
Dalam pada itu, Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar menyambut baik cadangan Wan Junaidi untuk mengkaji semula pelaksanaan hukuman sebat.
Katanya, kerajaan juga boleh menimbangkan pemberian pampasan kepada keluarga mangsa bagi mendapatkan ganti rugi daripada penjenayah, sekiranya terlepas daripada hukuman sebatan setelah ia direalisasikan oleh kerajaan
“Perkara ini selaras dengan hukuman Islam iaitu qisas, yang menyaksikan pelaksanaan hukuman sama dan seimbang dengan kesalahan dilakukan. Dalam keadaan ini, pihak yang dituduh boleh merayu kepada keluarga mangsa agar dapat digantikan hukuman tersebut dengan ganti rugi atau diyat.
“Jika kedua-dua pihak bersetuju, diyat boleh menggantikan hukuman qisas berkenaan. Ini bermakna keluarga mangsa boleh mendapat ganti rugi untuk meneruskan kehidupan. Langkah diambil ini lebih mengharmonikan undang-undang jenayah sedia ada dan undang-undang jenayah Islam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan Generasi Malaysia (YGM), Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi pula berpendapat, tidak salah untuk kerajaan mengurangkan jumlah sebatan namun aspek lain seperti denda atau tempoh pesalah di dalam penjara perlu ditambah.
Jelasnya, sesuatu pelaksanaan hukuman itu diwujudkan bagi memberi peringatan kepada pesalah dan orang ramai agar tidak melakukan jenayah.
“Pihak berkuasa harus tingkatkan lagi urus tadbir berkaitan jenayah kerana banyak rangkumannya kita tak tahu, ditambah rakyat Malaysia yang semakin ramai. Sebab itu cadangan sebat sebenarnya tidak boleh dikurangkan namun boleh dikekalkan. Nampak kejam, namun ia berbalik kepada kesalahan yang penjenayah telah lakukan kepada orang awam.
“Pada pandangan saya, ia perlu berdasarkan apa yang terjadi kepada mangsa dan kesalahan dilakukan penjenayah. Adakah melibatkan kecederaan pada mangsa atau meragut nyawa. Justeru, kena lihat secara keseluruhan dan jangan hanya nak fokuskan pada 15 sebatan itu sahaja,” katanya. - Getaran, 26 Ogos 2022.