KUALA LUMPUR - Menjadi sebahagian daripada ‘individu penting’ pada hari negara meraikan detik bersejarah, pastinya cukup bermakna dan umpama hadiah paling bernilai.
Apatah lagi apabila ia diraikan di seluruh negara saban tahun dalam suasana meriah.
Ia diakui Mohd Herman Abd Jabar, 42 yang dilahirkan pada tanggal 31 Ogos 1980.
Dia berkata, malah tiada kata-kata boleh membayangkan perasaan gembira dan terujanya apabila dapat meraikan hari istimewa itu bersama-sama puluhan ribu rakyat di Dataran Merdeka, serentak dengan Hari Kebangsaan 2022 yang disambut gilang-gemilang, selepas dua tahun Malaysia tidak mengadakannya disebabkan pandemik COVID-19.
“Saya amat teruja untuk datang ke sini menyambut hari jadi bersama isteri, anak dan orang ramai kerana bagi saya, inilah kelebihan saya seolah-olah ia hadiah diterima daripada negara kepada saya.
“Saya juga bersyukur kerana diberi peluang menyambut Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka kerana sudah dua tahun tiada perarakan sempena hari tersebut disebabkan COVID-19,” katanya ketika ditemui Getaran, hari ini.
Mohd Herman memaklumkan, bagi memastikan mereka sekeluarga yang menetap di Hulu Selangor tidak terlewat menyaksikan acara sempena sambutan itu, mereka mengambil keputusan bermalam di Putrajaya sehari sebelumnya.
“Kalau nak datang terus ambil masa hampir satu jam 30 minit. Jadi, saya ambil keputusan bermalam di Putrajaya bersama isteri dan dua orang anak saya sejak malam tadi.
“Saya tiba di Dataran Merdeka pada jam 5.30 pagi sebab tak mahu terlewat dan kecewa jika tak dapat duduk berhampiran tempat perarakan untuk melihat acara dipersembahkan dengan lebih jelas,” katanya.
Dalam pada itu, mantan pemain hoki kebangsaan, Nor Saliza Ahmad Soobni, 39, berkata, kehadirannya ke acara itu adalah kali pertama sebagai penonton bagi menyaksikan perarakan tersebut.
“Sebelum ini saya berada dalam perbarisan sebab atlet sukan akan dipanggil bagi menyertai acara tersebut, namun kali ini saya bersama anak melihat sambutan Hari Kebangsaan sebagai rakyat biasa,” ujarnya.
Seorang individu, C Mutusamy, 41, turut melalui pengalaman sama apabila menyatakan ia adalah pertama kali beliau hadir menyambut Hari Kebangsaan secara fizikal, bersama lima ahli keluarganya.
Malah, bagi merasai sendiri kemeriahan dan semangat patriotik sempena sambutan itu secara ‘depan mata’, mereka sekeluarga sanggup berjalan hampir 30 minit ke Dataran Merdeka.
“Saya sangat teruja dengan sambutan kali ini setelah dua tahun COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), membuatkan kita tak dapat sambut Hari Kebangsaan.
“Keadaan sangat sesak dan ramai orang. Saya dan ramai orang terpaksa meletak kenderaan jauh sebelum berjalan ke Dataran Merdeka untuk bersama-sama meraikan Hari Kemerdekaan ke-65.
“Ini kali pertama saya sambut Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka. Tahun depan harap boleh datang lagi ke sini,” katanya. - Getaran, 31 Ogos 2022