BENTONG - Erti kemerdekaan bagi masyarakat Orang Asli membawa maksud rakyat bebas dari cengkaman penjajah dan boleh melakukan apa sahaja tanpa dihalang atau disekat mana-mana kuasa asing.
Bagaimanapun, Ketua Batin Daerah Bentong, Razak Beretong melahirkan kebimbangan Malaysia akan ‘dijajah’ semula sekiranya politik negara masih terumbang ambing, sekali gus membenarkan kemasukan dan penguasaan bangsa luar.
Menurut beliau, rakyat tidak seharusnya terlalu leka dengan kemerdekaan yang dikecapi negara, bagi mengelakkan sejarah seperti penjajahan Melaka berulang kembali.
“Ketika kita menikmati kemerdekaan, bangsa asing dalam masa sama mencari jalan untuk mengambil Tanah Melayu (Malaysia).
“Perkara ini kena lihat, dalam sedar tak sedar akhirnya kena berbalik kepada politik kerana apabila perkara politik negara terumbang ambing di situlah mereka mengambil kesempatan.
“Kemerdekaan memang orang rasa ‘oh, aku merdeka bebas dari pelbagai sudut’, tetapi dalam kebebasan itu kita kena ingat jangan terlalu gembira sangat, kena melihat dari pelbagai aspek apa yang sedang berlaku sekarang.
“Ia boleh diibaratkan seperti api ‘makan’ sekam (api dalam sekam), di atasnya nampak cantik namun di bawahnya habis. Saya amat risau sebenarnya, mungkin bukan masa ini tetapi 10 atau 20 tahun datang apa akan berlaku dengan tanah Melayu (Malaysia),” katanya kepada Getaran ketika ditemui di Kampung Orang Asli Cinta Manis, di sini, hari ini.
Justeru, Razak berkata terdapat keperluan buat kerajaan mencontohi keteguhan perpaduan, pencapaian ekonomi serta kemajuan negara luar bagi menjadikan Malaysia lebih utuh dari pelbagai aspek.
Katanya, kepentingan pendidikan terhadap masyarakat Orang Asli perlu dipertingkat agar negara mampu melahirkan rakyat berilmu, berkualiti serta menjadi senjata ampuh untuk generasi baharu menghadapi masa depan dengan cemerlang.
“Saya lihat macam tiada harta kalau tidak mempunyai ilmu. Tiga orang anak saya masuk universiti awam (UA) dan dua darinya bekerja sebagai Ketua Eksekutif Empower Pantai Timur serta Jurutera Perancang di sebuah syarikat di bawah kelolaan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Saya bangga dengan pencapaian mereka sebab saya tak mahu mereka menjadi seperti saya.
“Itulah harapan bukan sahaja kepada anak saya, malah bangsa saya di kampung ini agar kita dapat bersaing dengan pelbagai masyarakat. Kalau boleh lebih berjaya daripada saya,” katanya.
Razak yang juga Tok Batin Kampung Orang Asli Cinta Manis memberitahu, pihaknya mengadakan pelbagai program sempena kemerdekaan demi memupuk semangat patriotik dalam diri penduduk termasuk anak-anak, selain menggalakkan mereka mengibar Jalur Gemilang.
Apa yang penting, jelasnya, ia dilaksanakan bagi mewujudkan hubungan silaturahim yang lebih utuh agar hubungan antara penduduk di kampung tersebut terjalin semakin erat.
“Saya sebagai Tok Batin memang tiap hari kemerdekaan kita akan membuat satu program penduduk kampung bagi menghargai erti kebebasan.
“Kita sambut untuk memperkukuh lagi perpaduan antara anak-anak buah di sini sebab mereka bukan orang lain, semuanya anak-beranak dan saudara mara.
“Kalau tidak dilaksanakan satu aktiviti khusus sempena hari kemerdekaan, masyarakat di sini tidak akan bercampur walaupun mereka saling bersaudara dan perpaduan atau hubungan erat di kampung ini tidak akan berlaku,” katanya.
Tambah Razak, pihaknya berbangga apabila ibu bapa di sini sudah mula menanamkan semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak untuk menghargai kemerdekaan yang dikecapi Malaysia.
“Saya melihat kebelakangan ini, sebut 31 Ogos, mereka (Orang Asli) dah tahu apa nak buat, mereka dengan anak-anak akan bersama memasang Jalur Gemilang di depan rumah melambangkan Malaysia sedang menyambut Hari Merdeka.
“Anak-anak akan melihat perkara itu dan akan menjadi contoh serta ikutan kepada generasi baharu bahawa apabila 31 Ogos, wajib untuk kita mengibarkan bendera Malaysia di rumah,” katanya. - Getaran, 31 Ogos 2022.