KLANG - Penduduk Glenmarie Cove melahirkan kekecewaaan dan berang kerana mendakwa pemaju perumahan mereka mungkir janji untuk menyediakan kemudahan mencukupi dan isu berhubung tahap keselamatan di kawasan kejiranan itu.
Meskipun ia diiklankan sebagai kawasan perumahan mewah dengan pegangan bebas yang terletak berhampiran Sungai Langat, penduduk mendakwa pemaju terbabit, Glenmarie Cove Development Sdn Bhd (GCD), iaitu anak syarikat di bawah DRB-Hicom Bhd, tidak menyediakan kemudahan atau memenuhi jaminan keselamatan seperti dinyatakannya.
Kejiranan ini juga terdedah kepada banjir semasa musim tengkujuh, lebih-lebih lagi dengan keadaan air pasang besar yang menimbulkan kemarahan penduduk dan pemilik kediaman berkenaan.
Bercakap kepada The Vibes, Presiden Persatuan Penduduk Glenmarie Cove (GCROA), Nikki Teh berkata, penduduk sudah berulang kali menyuarakan kekecewaan mereka terhadap kejadian banjir di kawasan perumahan itu.
“Pemaju memberi jaminan kepada pembeli bahawa pembangunan itu dibina melebihi paras banjir 100 tahun yang diunjurkan.
“Tetapi sejak menetap di situ, air laut perlahan-lahan melimpahi tebing sungai ke laluan pejalan kaki setiap kali air pasang besar, dua kali setahun atau kira-kira tiga puluh hari setahun,” dakwanya.
Tinjauan Vibes pada 12 Oktober menunjukkan, jalan utama ke komuniti berpagar, iaitu Persiaran Damar, dinaiki air hampir ke paras lutut.
Damar Promenade adalah jalan utama ke Glenmarie Cove. Ia juga menghubungkan kawasan kejiranan ke Jalan Telok Gong, iaitu jalan besar yang menghala ke Pelabuhan Klang dan Pulau Indah.
Penduduk mengaitkan masalah itu berpunca daripada limpahan air dari lagun berhampiran di kawasan kejiranan mereka. Keadaan itu juga menjadi semakin buruk akibat air pasang.
Lagun itu juga bersambung terus ke Sungai Langat yang secara semula jadi mengalir ke Selat Melaka.
Bagi mengelakkan banjir terus berlaku di kawasan kejiranan itu, penduduk mengambil inisiatif mengeluarkan duit poket sendiri untuk membiayai dan membina halangan banjir di sepanjang lagun.
Mereka juga membina empangan banjir di sepanjang Sungai Langat.
Walaupun empangan di sepanjang tebing sungai membantu menghalang air daripada melimpah ke kawasan kejiranan mereka, laluan di sepanjang sungai masih terdedah kepada banjir.
Nikki menjelaskan, penduduk memerlukan tambahan RM400,000 untuk membina penghadang banjir yang sesuai di sepanjang tebing sungai.
Lebih memburukkan keadaan, katanya, tebing sungai itu juga mengalami hakisan tanah dan walaupun perkara itu sudah dikemukakan kepada GCD, tiada tindakan diambil pihak berkenaan.
Malah, Nikki mendakwa, satu lagi kemudahan utama yang gagal disediakan GCD ialah jeti gantian yang sesuai selepas jeti asal di Jeti Senangin runtuh pada tahun 2017.
GCD kemudian menerima lebih RM1 juta wang insurans, tetapi hanya memperuntukkan RM100,000 untuk membaiki jeti itu secara persendirian, manakala selebihnya dijadikan hak milik peribadi.
Bagaimanapun, GCROA menuntut jeti itu dibina semula kepada bentuk asal menggunakan bahan berkualiti sama seperti reka bentuk asal.
“GCD mengalah dan bersetuju untuk membina semula jeti, tetapi mahu memendekkannya, dengan menggunakan semula bahan dapat diambil daripada jeti rosak sebelum ini. Ia melibatkan kontraktor sama yang membina jeti sub-standard dan bukannya melantik kontraktor lebih berpengalaman,” katanya.
Mengulas lanjut, Nikki berkata, isu lain dibangkitkan penduduk termasuk dakwaan kegagalan GCD untuk menyediakan lampu jalan di sepanjang laluan pejalan kaki tepi sungai, selain struktur jalan yang rosak menuju ke kawasan kejiranan mereka.
The Vibes sudah menghubungi GCD untuk mengulas mengenai perkara ini dan sedang menunggu jawapan. – The Vibes, 22 Oktober 2022