web statsweb stats

Berita Terkini

8 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Kanser, Antara Musibah Dan Anugerah

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 05 Feb 2021 8:50AM

Salina ketika mendaki Gunung Kinabalu

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR:  “I have cancer,” dan patah kata berkenaan membuat keadaan di meja makan bertukar menjadi sepi.

Malam itu selamanya akan terpahat dalam ingatan, kerana ia mengubah sepenuhnya kehidupan kami sekeluarga.

Seminggu sebelum Ramadan, hospital menjadi rumah kedua apabila Baba menjadi penghuni di sana, semuanya demi meneruskan perjuangan untuk satu kehidupan normal sebagaimana asal.

Rawatan dan prosedur bersilih ganti, semua dilaluinya dengan tabah agar beliau mampu pulih dan kembali sihat, untuk mengejar sekian banyak mimpi yang masih belum terlaksana.

Gambar terakhir Sophia bersama Ahmad A. Talib
Gambar terakhir Sophia bersama Ahmad A. Talib

Ketika itu sokongan diberi tidak berbelah bahagi, apa sahaja kehendaknya kami penuhi tanpa banyak bicara, semata-mata untuk memastikan semangat juang Baba tidak luntur ditelan sel kanser yang mengganas.

Perjuangan Baba, tiang seri keluarga kecil kami bagaimanapun terhenti pada 26 Mei 2020, ketika umat Islam sedang gembira meraikan hari ketiga Syawal.

Ternyata sudah ditulis dalam kalam takdirnya, Baba dipanggil bertemu Pencipta, dua bulan sebelum meraikan ulang tahun ke-69, selepas berhempas pulas melawan Hepatocellular carcinoma (HCC), sejenis kanser hati yang paling agresif.

Seisi keluarga reda meski hati dipagut kesedihan mendalam, kerana kami menyaksikan sendiri kesungguhan dan kecekalan hatinya melalui setiap kesakitan dengan tabah dan sabar.

Kanser, satu mimpi ngeri dan digeruni manusia kerana ia seperti hukuman bunuh, dijatuhkan tanpa belas kasihan dan sedikit sebanyak, tanggapan itu boleh dikatakan benar kerana kesan yang ditanggung pesakit bukan sedikit.

Ketika semua menyifatkan kanser sebagai satu penamat, Pengarang Kanan Integrasi, Komersil dan Multimedia New Straits Times Press (NSTP), Salina Abdullah pula menganggap ia sebagai hadiah kurniaan Allah SWT.

Diagnosis pakar yang mengesahkan beliau menghidap kanser serviks atau pangkal rahim tidak membunuh semangatnya untuk terus berjuang, sebaliknya keinginan menikmati hidup semakin membara.

Mesra dengan panggilan Kak Sal di kalangan sahabat, wanita bersemangat waja itu berkata, kanser baginya adalah peluang untuk mengubah diri dan menghargai kewujudan insan sekeliling.

“Ketika disahkan oleh doktor, otak terus ligat berfikir, bagaimana berita ini mahu disampaikan kepada anak-anak.

“Apa yang pasti, sejak hari pertama didiagnos, saya tak pernah mempersoalkan kenapa diri diuji dengan penyakit yang ditakuti ramai wanita ini,” katanya kepada Getaran.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, kanser bukan penamat kehidupan, tetapi ruang dan peluang untuk kita memperbaiki diri, menjadi lebih baik berbanding sebelumnya.

“Kanser harus dilawan dengan sikap dan nilai positif. Teruskan bersemangat waja, jangan biarkan diri diselubungi aura negatif.

“Saya tak ada masa untuk meratap, bersedih, marah atau berdendam kerana semua sudah berlaku. Apa yang penting adalah merancang langkah seterusnya dan bersiap sedia menjalani rawatan,” tegasnya.

Mengimbas kenangan, wanita besi itu berkata, pendarahan tanpa henti selama sebulan bermula September hingga Oktober 2019, mendorong beliau bertemu pakar sakit puan untuk pemeriksaan lanjut.

“Sebenarnya saya sempat mendaki Gunung Kinabalu sebelum berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut dan sewaktu di sana, pendarahan itu menjadi semakin teruk, walaupun saya sama sekali tidak merasa sakit,” katanya.

Sekembali ke Kuala Lumpur, Salina menjalani pembedahan dikenali sebagai Hysterectomy bagi membuang keseluruhan rahim dan ovari, sebelum disambung dengan prosedur rawatan seterusnya.

“Pembedahan saya dilakukan pada 4 November 2019 dan menjelang Disember, rawatan radioterapi sebanyak 50 sesi dimulakan.

“Ia diikuti dengan tujuh pusingan kimoradioterapi dan beberapa jenis rawatan lain, sebelum pemeriksaan mendapati ia tidak berkesan membunuh sel kanser yang ada,” katanya.

Berita buruk itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Salina, malah beliau optimis untuk mencuba rawatan lain, mengikut saranan pakar.

“Ujian imbasan Petscan mendapati sel kanser tidak berkurangan, sebaliknya membesar dan merebak ke tempat lain, sekali gus membuatkan saya terus didiagnos sebagai pesakit kanser tahap empat,” katanya.

Tanpa sedikit merasa sedih, wanita yang sering tersenyum manis itu memberitahu, beliau beralih kepada kaedah rawatan lain dikenali sebagai Immunotherapy.

“Alhamdulillah, ujian Petscan yang dibuat selepas lima pusingan Immunotherapy mendapati sel kanser semakin berkurangan, malah doktor turut merasa hairan.

“Apapun mereka amat gembira dengan perkembangan positif ini, apatah lagi saya dan keluarga. Semoga rawatan terbabit akan terus memberikan hasil yang positif,” katanya.

Kehilangan satu-satunya adik akibat barah perut pada 4 Mac 2010 seakan merentap semua kebahagiaan Kasthuri Jeevandran, 38.

Tempat beliau berkongsi segala rahsia dan kegembiraan direnggut pergi, dalam keadaan dirinya mengharapkan keajaiban untuk Suresh Jeevandran, anak lelaki bongsu keluarga itu.

Kasthuri bersama Suresh
Kasthuri bersama Suresh

Mendiang hanya berusia 24 ketika disahkan menghidap penyakit berkenaan, dan ia adalah titik tolak kepada perjuangan beliau menentang kanser, agar mampu menikmati hidup seperti pemuda lain seusianya.

Walaupun diduga dengan kesakitan yang teramat sangat, Kasthuri memberitahu adiknya kekal dengan sikap positif dan sentiasa mengingatkan ahli keluarga lain untuk berfikiran sama.

“Suresh tidak pernah lupa menyatakan hasrat untuk melawan penyakit itu supaya beliau boleh sembuh dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Sukar menerima pemergian adik tersayang, Kasthuri mengakui masih dihantui detik hitam, saat Suresh menghembuskan nafas terakhir di hadapan mata.

“Suresh sudah tidak ada, tapi saya tidak akan melupakan hasratnya untuk kembali pulih, malah di hujung hayatnya pun, beliau tetap bersemangat untuk berjuang.

“Saya harap semua pesakit kanser akan memiliki semangat ini. Berjuang demi diri anda sendiri, demi insan-insan yang menyayangi anda sepenuh hati. Pesakit kanser bukan banduan akhir, tapi pejuang hingga ke akhir hayat,” katanya.

Ya, kanser meski mengerikan, bukan hukuman mati kerana ia adalah anugerah yang terselit hikmahnya tersendiri.

Ahmad A Talib, Salina Abdullah, Suresh Jeevandran dan semua pahlawan kanser, kalian adalah kumpulan pejuang, barisan hero tidak didendang.

Dengan nama sewangi kasturi, ia mengharum di sudut hati, laksana kembang merah di pagi hari. – Getaran, 5 Februari 2021.

Hari Kanser Sedunia adalah hari antarabangsa yang telah diwartakan pada 4 Februari untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser serta mendorong pencegahan, pengesanan, dan rawatannya.

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 minggu yang lalu

Ramanan Terima Darjah Kebesaran Pahang Bawa Gelaran Datuk Seri

2

Semasa 2 bulan yang lalu

Peningkatan Kes Kanser Semakin Membimbangkan, Kanser Payudara Paling Tinggi

3

Selebriti 2 bulan yang lalu

Bintang Beverly Hills 90210, Shannen Doherty, Meninggal Dunia Akibat Kanser Payudara

4

Selebriti 6 bulan yang lalu

Puteri Wales, Catherine Umum Menghidap Kanser

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara

Disyorkan untuk anda

Semasa 17 jam yang lalu

Mangsa Banjir Kedah Meningkat, 1 PPS Baharu Dibuka

Politik 17 jam yang lalu

PRK Mahkota: Orang Asli Antara Yang Awal Keluar Mengundi

Semasa 10 jam yang lalu

Remaja Dihanyut Arus Deras Ditemukan Lemas, Ibu Masih Hilang

Semasa 9 jam yang lalu

Kepincangan Syarikat GISBH Semakin Terdedah