KUALA LUMPUR — Kegagalan kerajaan negeri dalam menangani masalah kemasukan bekalan elektrik di Kedah Rubber City (KRC) bakal mengakibatkan negeri itu kehilangan pelabur.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tiada jaminan daripada kerajaan negeri setakat ini bahawa masalah berkenaan akan diselesaikan segera.
Menurut beliau, masalah pengambilan tanah untuk memasang tiang elektrik juga difahamkan masih belum selesai.
"Sekarang ini sudah masuk tahun keenam tetapi elektrik tak boleh sampai lagi ke KRC. Mengapa elektrik tak boleh sampai? Kerana Menteri Besar tak ambil peduli sedangkan pembangunan di situ penting kerana boleh membuka ribuan peluang pekerjaan.
"Kalau Menteri Besar ambil peduli, 'hang' panggilah pihak Pejabat Tanah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak terlibat untuk tanya bila nak siap? Tetapi Menteri Besar tak buat kerja itu sebaliknya asyik mengata dan memfitnah orang,” katanya, sinis.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya Negeri Kedah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu dan Kuala Nerang di Dataran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Kuala Nerang hari ini.
Menurutnya, bekalan elektrik khas di kawasan KRC perlu dihubungkan dari Tanjung Pauh, Jitra sejauh 42 kilometer kerana kawasan industri tersebut memerlukan penggunaan elektrik yang banyak.
"Minggu lepas seorang daripada pelabur datang jumpa saya dan memaklumkan kalau Februari tahun depan, elektrik tak masuk ke sana, mereka terpaksa tarik diri. Saya katakan kepada mereka, sabar sekejap dan tunggu hingga 12 Ogos depan untuk kita tukar kerajaan dan laksanakan projek tersebut," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahdzir pada sidang media selepas itu berkata, ketidak pastian berkaitan kemudahan asas itu sudah tentu mendatangkan kerisauan kepada pelabur.
Tegas calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu itu, mereka juga dikhabarkan sentiasa diundang untuk melabur di tempat-tempat lain.
"Kalau kerajaan negeri keluar kenyataan mengatakan boleh masuk elektrik pada September atau Oktober dan sudah ada keputusan dari Exco untuk pengambilan tanah, maka mudahlah. Menteri Besar ada di situ, maka beliau bolehlah panggil pihak berkaitan untuk kepastian.
"Tetapi kalau kerajaan negeri tak mulakana, maka perkembangannya jadi lambatlah. Pelabur tak boleh tunggu kerana itu akan membuatkan mereka rugi," katanya. - Getaran, 27 Julai 2023