KUALA LUMPUR - Mantan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin menyangkal tuduhan beliau meluluskan projek rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah, melibatkan rasuah berjumlah lebih RM80,000.
Tegas Radzi, satu hantaran yang kini tular di media sosial mendakwa, isterinya, seorang kerabat raja bergelar Tengku bertindak sebagai proksi syarikat dikenali sebagai ATT One & Only Enterprise.
“Saya ingin tegaskan bahawa tuduhan-tuduhan terkandung di dalam mesej tular tersebut yang mengaitkan saya dan isteri saya dengan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah adalah tidak benar sama sekali.
“Isteri saya juga bukan seorang kerabat diraja dan beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan atau kepentingan dalam syarikat yang dinyatakan di dalam mesej yang tular tersebut,” katanya.
Jelas Naib Presiden BERSATU itu, beliau dan isterinya sama sekali tidak memiliki sebarang kaitan dengan semua perkara yang disebut dalam tuduhan berkenaan, dan ia dapat dilihat menerusi carian ke atas syarikat berkaitan.
“Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah meminta atau menerima, sama ada secara terus atau melalui mana-mana orang lain, sebarang rasuah atau suapan daripada sesiapa pun sama sekali.
“Semalam, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menangkap mantan setiusaha politik saya, kononnya atas alasan bahawa saya terlibat dalam perkara ini dan berdasarkan suatu mesej WhatsApp yang tular di sosial media,” katanya.
Kesal dengan tindakan tersebut, Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, ia membuktikan suruhanjaya tersebut sedang bertindak atas arahan pihak atasan kerana insiden di Parlimen pada Selasa lalu.
“Pihak SPRM memberitahu, mesej WhatsApp yang sedang tular ini digunakan semata-mata untuk menjejaskan reputasi dan imej saya dan untuk menindas bekas pegawai saya yang tidak bersalah.
“Perkara-perkara seperti mesej WhatsApp yang tular dan berunsur fitnah jahat tidak sepatutnya dijadikan dasar penyasatan tapa sebarang asas kukuh, khususnya jika pernyataan tersebut dibuat oleh seseorang yang membuat tohmahan melulu secara berselindung,” katanya.
Radzi memberi amaran, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa sahaja yang mengulangi atau menerbitkan semula tuduhan-tuduhan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM menahan reman dua individu termasuk seorang bekas setiausaha politik kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.
Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki itu dipercayai ditahan semalam kira-kira jam 11 malam semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
“Suspek pertama berusia dalam lingkungan 20an ialah bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan.
“Beliau bersama suspek kedua yang juga pemilik syarikat berusia lewat 50an dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan tersebut (untuk) meminta dan menerima rasuah melalui syarikat suspek kedua, sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus “ katanya.
Getaran diberitahu, Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nur Adilah bt Halid membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 26 September, bermula hari ini selepas pihak SPRM membuat permohonan pagi tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009,” katanya. - Getaran, 23 September 2023