KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh membuktikan janjinya untuk memperjuangkan nasib rakyat, khususnya pengundi, bukan sekadar retorik.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu hari ini membuat kejutan apabila ‘menerjah’ beberapa kilang beras, dipercayai di sekitar Merlimau dan Jasin.
Dalam video yang dikongsi di Instagram dan Facebook, jelas kelihatan Dr Akmal tidak bertolak ansur, apabila ada pengilang yang enggan menjual beras tempatan pada harga disyorkan iaitu RM25.50 untuk pek 10 kilogram.
Menerusi rakaman, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Jasin tegas mengarahkan pengilang berkenaan untuk membungkus beras mengikut arahan ditetapkan kerajaan.
“Sekarang ni you kena dengar ni ya Uncle, kalau you tak mau buat you cakap, I tarik you punya lesen.
“Kalau you rugi, you cakap you mahu packing rugi, ini kerajaan punya arahan tau? Kalau you cakap you rugi, I tarik you punya lesen, kita bagi orang lain hantar,” katanya, keras.
Dr Akmal dipercayai memberi amaran itu kerana pengilang terbabit berdegil tidak mahu menjual mengikut harga ditetapkan, dengan memberi alasan rugi.
Seperti dijangka, tinjauan Getaran di ruangan komen mendapati ia dipenuhi dengan sokongan rakyat, yang menyifatkan beliau benar-benar menunaikan amanah dan mandat diberi untuk menjaga kebajikan rakyat.
Di Instagram, @azian_naizashop berkata, tindakan diambil Dr Akmal sewajarnya dicontohi wakil rakyat lain.
“Terbaik. Sepatutnya semua YB kena buat inspection gini la. Deme nak untung memanjang, rakyat yang kena ikat perut. Kat tempat kami memang tiada langsung beras tempatan,” katanya, sedih.
Pendapat senada diluahkan @ariffaraisya yang berkata, kilang pembungkusan besar seharusnya kerap diperiksa oleh pihak berwajib.
“Sepatutnya YB semua turun sendiri ke tempat Pmbungkusan Besar seperti Dr Akmal buat.. Mereka ni tahu nk untung je padahal selama ni Mereka2 inilah yng mengaut keuntungan berlebihan..Steady Dr Akmal,” katanya.
Sehingga jam 9 malam ini, video berkenaan sudah menerima 6,367 tontonan di Instagram.
Di Facebook pula, ia menerima lebih 7,000 tanda suka, 1,600 komen dan dikongsi 1,100 pengguna lain. - Getaran, 25 September 2023