KUALA LUMPUR - Buntu dengan kehilangan empat ahli keluarga termasuk sepasang anak yang masih kecil, seorang bapa merayu bantuan orang ramai untuk mengesan kesemua mangsa.
Menggunakan nama Ah Pek di Facebook, dia memberitahu, kali akhir mereka berhubung ialah pada Jumaat, 29 September lalu sebelum terputus hubungan hingga hari ini.
Katanya, keempat-empat mereka bercuti ke Pulau Perhentian, Terengganu dan meletakkan kereta di jeti Kuala Besut.
“Mungkin jarang aku nk mintak tolong, tapi kali ni aku betul2 (betul-betul) perlukan pertolongan.
“Mak mertua, adik lelaki termasuk anak sy (saya) dua orang masih belum dapat dihubungi sehingga ke hari ini. No Plate Kereta JRW 6380,” katanya sambil memberitahu, laporan polis telah dibuat semalam untuk tindakan lanjut.
Sementara itu di X, rakan Ah Pek dikenali sebagai Ian Zainal menerusi bebenang memuat naik tangkap layar komen diterima, termasuk yang memberitahu bahawa kereta dinaiki keluarga terbabit tidak lagi berada di jeti dimaksudkan.
“Belum jumpa, resort dah buat declaration diorang (mereka) dah check out semua 30hb. Kat jeti pun katanya takde dah kereta tu. Dua-dua hp (telefon bimbit) off tak dapat contact sejak 29hb,” kata seorang individu yang menggunakan nama Pae Alysha.
Ian memberitahu, setakat jam 12.44 pagi tadi, nasib keempat-empat mereka masih belum diketahui.
Menerusi bebenang sama, akaun @intan_saphire pula memberitahu, maklum balas daripada ejen pelancong yang menguruskan percutian empat individu terbabit mengesahkan, kesemua mereka telah meninggalkan Pulau Perhentian pada 1 Oktober untuk kembali ke Kuala Besut.
Ejen dikenali sebagai Khursani Ab Mana itu berkata, perkara berkenaan disahkan sendiri oleh resort tempat mereka menginap iaitu Senja Bay dan pemandu bot terlibat.
“Assalamualaikum..
untuk makluman keluarga dan semua..
29 Sept:
- Puan Suraidah (2 dewasa 2 kanak?) ambil tiket bot pergi balik dengan SUNNY TRAVEL - Jeti Kuala Besut.
- jam 9:45 pagi, mereka menaiki bot ke Pulau Perhentian..
**menginap di SENJA BAY - PERHENTIAN
KECIL selama 2 malam.
“01 Oct:
- jam 08:00 pagi, Puan Suraidah (2 dewasa 2 kanak?) menaiki bot balik ke jeti Kuala Besut.
**pengesahan dari SENJA BAY dan pemandu bot,” katanya.
Sementara itu Ah Pek yang kini berada di Kuala Besut menerusi Facebook Story memaklumkan, usaha mengesan empat ahli keluarganya itu masih belum berhasil.
Dia dilihat turut mengunjungi Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, dipercayai untuk membuat laporan.
“Masih zero,” keluhnya. - Getaran, 3 Oktober 2023