KUALA LUMPUR -- Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin turun padang bagi mengambil tindakan dan meninjau dakwaan beras plastik yang dijual di Sandakan, Sabah.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius dakwaan itu dan sampel beras itu sudah diambil untuk dianalisis pihak berkenaan.
"Saya ingin merujuk kepada sebuah video yang tular di media sosial berkenaan dakwaan beras plastik yang dijual di kawasan Sim-Sim, Sandakan.
"Pihak Kementerian memandang serius atas dakwaan sebegini dan siasatan di lapangan sudah dilakukan oleh pihak Kawal Selia Padi Dan Beras (KPB) di Sabah pagi tadi dengan pengambilan sampel beras di premis peruncit dan pembekal untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Sebelum ini, tular satu video di media sosial yang mendakwa beras plastik dibungkus di dalam bungkusan beras berlaku di Sim Sim, Sandakan.
Video berkenaan dimuat naik pengguna dan kini tular di media sosial, susulan daripada itu, Chan Foong menegaskan pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menimbulkan kegusaran awam membabitkan video berkenaan.
Beliau berkata, pihak peruncit dan pembekal jenama beras terbabit sudah membuat penjelasan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan berkenaan.
"Saya juga dimaklumkan bahawa pihak peruncit dan pembekal jenama beras tersebut sudah tampil ke pejabat KPB bagi membuat aduan secara rasmi berkaitan komen-komen negatif dan kerisauan pengguna terhadap penularan video tersebut.
"Di sini saya ingin menegaskan bahawa pihak Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kegusaran orang awam terhadap isu keselamatan makanan negara, terutamanya beras dengan dakwaan yang tidak berasas.
"Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab berkaitan perkara ini," tambah Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu lagi.
Sementara itu, pengedar dan pembekal beras, Sazarice Sdn Bhd (Sazarice) turut tampil mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan itu, selain turut membuat laporan polis membabitkan isu berkenaan.
"Kepada pengguna-pengguna setia beras jenama Sazarice, pihak kami ingin menegaskan dakwaan daripada isu viral beras plastik adalah tidak benar.
"Sazarice sentiasa memastikan kualiti beras yang terbaik untuk semua produk-produk jenama kami. Untuk makluman pihak kami sudah membuat laporan polis berikutan isu viral ini dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab," kata syarikat itu di laman Facebook.
Sehubungan itu, Chan dan Sazarice menasihatkan pengguna supaya tidak mudah terpengaruh dengan isu berkenaan dan sekiranya terdapat sebarang aduan berkait isu beras, ianya boleh dimaklumkan secara rasmi kepada KPKM. - Getaran, 9 Oktober 2023