KUBANG PASU - Sebuah treler dari Thailand dihalang daripada memasuki negara ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam semalam, kerana membawa kontena berasal dari Israel.
Timbalan Pengarah Kastam Kedah, Suhaime Affindi Zainol Abidin berkata, treler itu dikesan ingin memasuki Malaysia melalui pintu masuk ICQS kira-kira jam 12 tengah hari.
"Treler dengan nombor pendaftaran Thailand itu membawa kontena mengandungi dagangan peralatan komputer. Pemandunya cuba memasuki Malaysia dengan melakukan pengikraran Borang 'K1' bagi tujuan pengimportan dagangan ke negara ini.
"Penelitian anggota kastam bagaimanapun mendapati kontena digunakan treler itu berasal dari Israel bersandarkan logo 'ZIM' yang tertera di dindingnya. Kenderaan itu kemudiannya ditahan untuk mendapat pengesahan dan arahan lanjut," katanya.
Jelas beliau, treler berkenaan kemudiannya diarahkan berpatah balik dan meninggalkan negara ini serta-merta setelah segala prosedur dilakukan.
"Lori berkenaan telah berpatah balik ke Thailand dan keluar dari negara ini kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam," katanya.
Suhaime Affindi berkata, orang ramai digesa membantu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain barangan.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak sekali-kali terbabit dalam kegiatan itu yang bukan saja merugikan negara, malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.
"JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkenaan sebarang kegiatan penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat di semua negeri,
"JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya. - Getaran, 7 Jun 2024