web statsweb stats

Berita Terkini

2 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 bulan yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 bulan yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 bulan yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Cabaran Membesarkan Anak Autistik

Semasa Dikemaskini 2 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 23 Jun 2024 9:41AM

Siti Nadirah Hafidzin melepaskan jawatan sebagai wartawan untuk menjaga anaknya yang menghidap autisme. – Gambar The Vibes

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Cabaran membesarkan anak autistik menyebabkan semakin ramai ibu bapa mengalami kelesuan dan tekanan yang teruk, kata pakar.

Data yang dikeluarkan pada 2021 menunjukkan 589 individu berusia bawah 18 tahun didiagnosis mengalami Gangguan Spektrum Autisme (ASD) atau autisme, iaitu peningkatan sebanyak lima peratus berbanding 562 yang direkodkan pada 2020.

ASD ialah sejenis gangguan perkembangan minda yang melibatkan masalah komunikasi, tingkah laku dan fungsi sosial. Kemerosotan ini bermula pada zaman kanak-kanak dan mempunyai tahap berbeza.

Tidak seperti kanak-kanak lain, perkembangan dan perlakuan kanak-kanak autistik memerlukan ibu bapa mempelajari cara yang khusus untuk menjaga anak istimewa masing-masing.

The Vibes baru-baru ini berpeluang menemu bual ibu bapa mengenai pengalaman mereka membesarkan anak autistik dan pengorbanan serta cabaran yang dilalui.

Siti Nadirah Hafidzin misalnya, menjalankan perniagaan katering secara kecil-kecilan selepas melepaskan jawatan sebagai wartawan akhbar tempatan beberapa tahun lalu.

Wanita berusia 30 tahun itu berkata, keputusan untuk meninggalkan bidang yang amat diminatinya bukan mudah, namun ia perlu demi anaknya yang mengalami autisme.

"Memiliki anak autistik jauh bezanya dengan keluarga yang memiliki anak normal. Memang sukar untuk buat keputusan berhenti kerja, tetapi bagi saya inilah jalan terbaik selepas anak kedua disahkan menghidap autisme.

"Kalau ada mana-mana ibu bapa yang kata mereka tiada masalah menjaga anak autistik, semuanya baik-baik saja, mereka sebenarnya berbohong. 

"Sebagai manusia biasa, kami tertekan dan kelesuan. Ada hari kami terlampau letih, tetapi kami perlu hadapi kenyataan bahawa kami mempunyai anak yang memerlukan penjagaan khas serta sokongan dan perhatian yang lebih.

"Tetapi pada masa yang sama kami juga perlu menjaga anak yang lain. Jadi sudah tentu situasi ini sukar untuk menguruskan keluarga," ujarnya.

Menurut Nadirah, kerjanya sebagai wartawan sebelum ini menyebabkan beliau tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada anak perempuannya yang disahkan autistik. Katanya, anaknya itu sering cepat marah dan sukar dikawal.

"Anak saya susah untuk tidur. Dia akan tidur jam dua atau tiga pagi. Jadi kami tak dapatlah nak berjaga sampai lewat malam sebab kami perlu bekerja keesokan pagi. Situasi ini benar-benar sukar bagi kami, akhirnya saya buat keputusan berhenti kerja.

"Walaupun ada ketika tertekan, tapi kami berjaya mengatasinya. Saya dan suami saling menyokong dari segi mental dan emosi," kata Nadirah.

Anaknya, Hasya Nur Dhuha, 7, bersekolah di sekolah kerajaan dan diletakkan di bawah program intervensi khas.

Perkembangan, keperluan dan kemampuan individu autistik berbeza-beza, ada yang boleh berdikari, sementara yang lain memerlukan penjagaan dan sokongan sepanjang hayat.

Farah Wahida Abdul Aziz bersama suami dan tiga anak mereka. – Gambar The Vibes
Farah Wahida Abdul Aziz bersama suami dan tiga anak mereka. – Gambar The Vibes

Bagi Farah Wahida Abdul Aziz, beliau memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada anaknya yang menghidap autisme dengan melepaskan jawatan sebagai pengurus operasi.

Farah, 33, berkata, pada awalnya beliau sukar untuk menjaga anak lelakinya yang berusia lapan tahun terutamanya ketika kanak-kanak itu mengalami ‘meltdown’. 

Meltdown berlaku apabila kanak-kanak ini merasa tidak selesa dalam diri mereka, yang mendorong mereka untuk bertindak luar jangkaan seperti menghantukkan kepala, menggigit diri sendiri, melompat-lompat atau menghempaskan badan ke lantai.

"Saya dan suami perlu sentiasa bersedia. Anak kami menghidap autisme ringan, tidak boleh bercakap, tetapi dia tidak agresif.

"Anak kami sensitif kepada bunyi bising, nanti dia jadi takut dan menjerit. Kadang-kadang dia kurang sabar dan tak mahu duduk diam. Jadi saya perlu pastikan dia sentiasa dalam keadaan okay, tak cederakan dirinya sendiri atau pecahkan barang," jelasnya.

Kata Farah, keadaan ini berlaku setiap hari yang beliau akui meletihkan dan memberinya tekanan.

"Dia dalam dunianya sendiri dan pada masa yang sama ada banyak perkara yang saya perlu fikirkan.Saya perlu pastikan dia makan, rumah sentiasa kemas dan macam-macam lagi."

Khairil Anwar Mohd Amin dan anak lelakinya yang menghidap autisme. – Gambar The Vibes
Khairil Anwar Mohd Amin dan anak lelakinya yang menghidap autisme. – Gambar The Vibes

Sementara bagi Khairil Anwar Mohd Amin, anak lelakinya yang sekarang berusia 12 tahun disahkan menghidap autisme ketika kanak-kanak itu berumur dua tahun.

Khairil, 39, berkata, menguruskan anak autistik memang sukar, tetapi dengan intervensi dan terapi awal keadaan anaknya itu semakin lama semakin baik.

"Ibu bapa perlu berlapang dada dan terima anak mereka dengan seadanya. Segera dapatkan bantuan, jangan malu kerana anda memang memerlukannya. Tetapi malangnya ada ibu bapa yang enggan menerima kenyataan.

"Anak saya pada mulanya sukar untuk tumpukan perhatian dan mengawal kelakuan tetapi sekarang dia dah boleh bercakap dan mengira.

"Selagi kita bantu anak-anak ini dan dapatkan rawatan yang sepatutnya, kita boleh hadapinya. Itulah yang saya lakukan, dan sampai sekarang saya masih hantar anak saya ke kelas terapi," kata Khairil. – Getaran, 23 Jun, 2024

Berita Berkaitan

1

Rencana 3 bulan yang lalu

Autisme: Masyarakat Semakin Memahami, Namun Penjaga Perlukan Lebih Banyak Sokongan

2

Semasa 4 bulan yang lalu

Polis Sahkan Kematian Kanak-Kanak Autisme Di Taman Tasik Rekreasi Tiada Unsur Jenayah

3

Kisah Kita 5 bulan yang lalu

Terapi Bantuan Kuda Bantu Perkembangan Kanak-Kanak Autisme 

4

Semasa 7 bulan yang lalu

Polis Rakam Semula Keterangan Ibu Bapa, Individu Jumpa Mayat Zayn Rayyan

Sorotan

1

Perlu Berani Tonjol Akhlak Islam Santuni Penganut Agama Lain – Anwar

2

Wanita Maut Ditelan Ular Sawa Di Sulawesi Selatan

3

Projek KIGIP Beri Limpahan Ekonomi, Selesaikan Isu Air Penduduk Sungai Bakap - Joohari

4

Bertrand, Nur Shazrin Pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Olimpik Paris

5

Pemain Badminton China Zhang Zhi Jie Meninggal Dunia Selepas Rebah Di Gelanggang

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Agong Titah Jangan Jadikan Media Sosial Platform Berbalah, Buka Aib

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Audit HRD Corp: SPRM Kenal Pasti Bebeapa Individu Untuk Bantu Siasatan

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Eksport Halal Negara Cecah RM54 Bilion Tahun Lepas

Semasa 5 jam yang lalu

Pertabalan Agong: Sultan Brunei Berkenan Berangkat, Serlah Hubungan Akrab Dengan Malaysia