KUALA LUMPUR - Sebuah helikopter tentera terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Kem Mahkota Kluang, lapor New Straits Times.
Laporan itu menyatakan sel komunikasi tentera mengesahkan kejadian itu berlaku pada jam 1.35 pagi hari ini.
Dalam kenyataannya, tentera mengesahkan pesawat M81-11 (Agusta A109H) membuat pendaratan kecemasan semasa sesi latihan malam untuk kursus asas pegawai penerbangan di Lapangan Terbang Kluang dari Rejimen Udara Tentera Darat 881.
“Kejadian ini melibatkan 3 anak kapal yang terdiri daripada seorang jurulatih helikopter, seorang pelatih kursus dan seorang kru kuartiermaster.
“Semua anak kapal yang terlibat sedar dan hasil awal pemeriksaan perubatan telah mengenal pasti beberapa kecederaan yang dialami oleh pegawai dan anggota,” katanya, sambil menambah antara kecederaan yang dialami adalah patah tulang belakang.
Anak kapal dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.
Susulan kejadian pagi ini, tentera mengambil tindakan 'Henti Terbang Sementara' (temporary grounded) helikopter M81-11.
“Proses ratifikasi dan pemeriksaan akan dilakukan untuk memulihkan status penerbangan pesawat ini dengan segera,” kata kenyataan itu, sambil menambah yang lembaga siasatan akan diadakan untuk mengenal pasti punca kejadian. – The Vibes, 28 Jun 2024