KUALA LUMPUR - Pemergian Pengasas PKR, Syed Husin Ali ke rahmatullah semalam ternyata meninggalkan kesan yang amat mendalam buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi tribut yang dikongsi di Facebook, Perdana Menteri berkata, amat pedih buat beliau untuk menerima kenyataan bahawa pertemuan seminggu lalu adalah yang terakhir buat mereka
Ungkap Anwar, ia selamanya akan terus melekat di ingatan dan terpateri di lubuk hati paling dalam.
“Justeru, saat mengenang sejarah panjang saya bersama beliau, saya terusik dengan rasa kagum dan keterujaan yang tinggi.
“Sesungguhnya kita semua milik Allah, dan kepadaNya kita semua akan kembali” - (Al Baqarah: 156).
“Masih saya ingat dalam banyak sesi kuliah dan syarahannya saat menuntut di Universiti Malaya yang sarat dengan kebijaksanaan yang berselirat dengan mesej yang mengajak untuk menegakkan keyakinan, dan itu juga bermaksud untuk bersikap kritikal, mempersoal status quo dan mendambakan sebuah sistem bermasyarakat—yakni sebuah tatanan—yang adil dan saksama,” katanya.
Memperincikan Allahyarham, Perdana Menteri berkata, sosok Syed Husin berjuang sekerasnya untuk nasib mereka yang miskin, melarat dan tertindas, sambil mempertaruhkan jiwanya dalam mendepani permasalahan kemiskinan dan perjuangan kaum tani seperti Allahyarham Hamid Tuah dan juga nasib kaum buruh di Selangor pada sekitar 1960an.
“Dia berdiri tegak di situ, di barisan paling hadapan, terutamanya dalam mendukung perjuangan warga di bandar-bandar, petani di Baling, serta mahasiswa yang berjuang dalam mengangkat kepentingan rakyat.
“Legasi yang ditinggalkan sosok kecil ini ternyata tidak kecil, dan ia berlanjut melebihi dewan dan gedung-gedung akademik,” katanya.
Tegas Anwar, Syed Husin sebagai tokoh besar dalam lapangan sains sosial, penulis dan pemikir telah meninggalkan khazanah pengetahuan yang sangat besar dan meluas tatkala beliau berkongsi keghairahannya itu dengan Tongkat Warrant (Datuk Usman Awang) di dasawarsa-dasawarsa lampau, dan ia terbukti melalui peranannya sebagai Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
“Keterlibatannya di jalur politik progresif sebagai Presiden Partai Rakyat Malaysia (PRM) dari 1990-2003, dan kemudian sebagai pengasas bersama serta Timbalan Presiden Partai Keadilan Rakyat (KEADILAN) lantas memperkukuh penjiwaannya kepada prinsip keadilan dan dalam membentuk serta mencorak sebuah Malaysia yang lebih baik,” katanya.
Perdana Menteri menerusi tribut itu turut menzahirkan penghargaan buat Allahyarham kerana memainkan peranan sebagai guru yang luar biasa, mentor dan sahabat.
“Semangat juangnya akan terus menyemarak di banyak sanubari, dan legasi besarnya itu akan terus mengemudi arah dan masa depan bangsa.
“Semoga Allah SWT melimpahkan belas kasihNya yang tidak terhingga ke atas ruh Pak Syed, Insya-Allah,” katanya.
Allahyarham Syed Husin menghembuskan nafas terakhir awal pagi semalam di Hospital Selayang selepas bertarung dengan kanser pankreas buat beberapa lama.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara. - Getaran, 30 Jun 2024