PEKAN - Keresahan kira-kira 1,000 penduduk dari lima perkampungan Orang Asli sekitar Tasik Chini, dekat sini, wajar diberi perhatian oleh pihak berkenaan, terutamanya kerajaan negeri Pahang.
Memiliki keluasan 5,026 hektar dan menjadi habitat 138 spesies flora dan 300 spesies hidupan bukan akuatik, selain 144 spesies ikan air tawar yang pernah direkodkan hidup di tasik berkenaan, adalah satu kerugian amat besar jika semua khazanah bernilai ini hilang begitu saja.
Tok Batin Kampung Gumum, Awang Alok, 80, perubahan Tasik Chini sejak 10 tahun kebelakangan ini sangat mengecewakan beliau dan berharap semua aktiviti perlombongan yang sedang berjalan di situ, dihentikan segera.
“Kalau mereka (penduduk) mengadu kepada saya pun tidak ada guna, apa kuasa yang saya ada?”
“Saya sudah kehilangan kata apabila bercakap mengenai Tasik Chini, kami menetap di sini sejak puluhan tahun dan inilah tanah adat kami untuk mencari sumber pendapatan melalui hasil hutan seperti rotan serta ikan sungai yang ditemui dalam tasik.
“Sekarang, semuanya sudah tidak ada, rotan pun sudah tidak ada, tengoklah hutan sana, kawasan bukit banyak yang sudah ‘botak’, jadi di mana kami nak cari lagi. Sama juga dengan ikan, banyak yang sudah hilang, pupus kerana perubahan (air) tasik,” katanya kepada Getaran.
Awang yang dilantik sebagai Tok Batin sejak tahun 1968 berkata, banyak ikan ditemui mati jika hujan lebat melanda kawasan itu dan menyebabkan air tasik menjadi keruh, malah beberapa spesies ikan air tawar seperti jelawat serta belida tidak lagi terdapat di sana.
Beliau juga hanya menghela nafas apabila ditanya mengenai aduan penduduk kepada pihak berkuasa dan mengakui, sudah penat berurusan dengan pihak berkenaan.
“Kalau mereka (penduduk) mengadu kepada saya pun tidak ada guna, apa kuasa yang saya ada, paling kuat pun saya (pergi) jumpa Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail), kalau dia (Menteri Besar) percayakan saya, baguslah, kalau Menteri Besar buat tidak tahu pun tidak guna juga.
“Banyak kali kami buat aduan, mereka (penduduk) bawa saya pergi balai polis buat laporan, sudah dua tiga laporan buat, dia (pengusaha lombong) sodok juga kebun getah kita (penduduk), bukannya bagi pampasan pun, mereka sodok begitu saja tanaman kita,” katanya, sugul.
Ketika ditanya mengenai keadaan di lombong berhampiran tasik itu, Awang berkata beliau tidak pernah menghampiri kawasan itu kerana dipagar dan mempunyai ‘tonto’ yang ditugaskan menjaga kawasan lombong terbabit.
“Harapan saya memang kalau boleh tutuplah (hentikan operasi lombong), selagi mereka ada (beroperasi), susahlah kami.”
“Mana boleh masuk tempat dia (kawasan lombong), mana boleh masuk, dia tidak benarkan.
“Ada ‘gate’ dia tutup, alasan dia takut kita (penduduk kampung) curi barang dia.
“Mereka tidak pernah jumpa dengan kita, itu kawasan dia, mungkin bayar kerajaan ke apa ke, kita tidak tahu.
“Harapan saya memang kalau boleh tutuplah (hentikan operasi lombong), selagi mereka ada (beroperasi), susahlah kami. Contohnya penduduk di Kampung Melai yang menggunakan air sungai, Kampung Ulu Gumum, Kampung Tanjung Puput dan Kampung Chendahan yang guna air tasik, kita tidak tahu air itu selamat atau tidak untuk digunakan,” katanya.
“Kita bimbang dengan nasib kira-kira 1,000 penduduk Orang Asli daripada suku kaum Jakun yang menjadikan kawasan di sekitar Tasik Chini sebagai tempat tinggal mereka.”
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar ketika dihubungi berkata, tindakan kerajaan Pahang mewartakan kawasan sekitar Tasik Chini sebagai Taman Negeri pada November lalu dan mengumumkan tidak akan memperbaharui lesen pembalakan dan perlombongan juga dilihat sebagai keputusan tidak konsisten.
“Kalau sudah diumumkan sebagai Taman Negeri, kenapa pula luluskan kawasan (perlombongan) baharu. Ini agak pelik dan menunjukkan seolah-olah mereka (kerajaan negeri) tidak bertegas dalam perkara ini.
“Kita bimbang dengan nasib kira-kira 1,000 penduduk Orang Asli daripada suku kaum Jakun yang menjadikan kawasan di sekitar Tasik Chini sebagai tempat tinggal mereka. Perkara seperti ini perlu diambil kira memandangkan masyarakat Orang Asli sudah menetap di situ sejak puluhan tahun,” tegasnya.
Noor Jehan menambah, Tasik Chini itu sendiri berpotensi kehilangan status rizab biosfera yang diberikan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sekiranya masalah pencemaran terus berlaku.
Selain mengumumkan status Taman Negeri pada tahun lalu, kerajaan Pahang pada tahun 2019 dilaporkan bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,497.25 hektar di kawasan Tasik Chini sebagai Hutan Simpan Kekal bagi memulihara kawasan berkenaan.
“MNS merasakan bahawa (Menteri Besar) Wan Rosdy tidak mengotakan janji yang dibuatnya sebelum ini apabila kawasan yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal, kini dibenarkan untuk aktiviti perlombongan,” kata Noor Jehan. - Getaran, 11 Jun 2021