web statsweb stats

Berita Terkini

10 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


#BenderaPutih, Suara Hati Mereka Yang Tertewas

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 Jun 2021 12:19PM

Mereka yang memerlukan bantuan makanan hanya perlu mengibarkan bendera putih di sekeliling rumah menerusi kempen kibar bendera putih. - Gambar dari Twitter

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Tidak ada manusia yang boleh lari daripada masalah, itu adalah fitrah hidup.

Seawal dia lahir, kitaran masalah itu sebenarnya sudah mula membentuk menjadi gumpalan, yang satu masa nanti akan melingkari setiap ruang lingkup kehidupan.

Namun, ada ketika permasalahan itu terlalu hebat permainannya, begitu keras terjahannya, hingga ada yang tertewas dek amukan perasaan, lantas diri menjadi korban.

“Tolong jangan ambil tindakan yang meremukkan hati orang yang tersayang. Tak perlu merayu, tak perlu malu. Kibar saja bendera.”

Tatkala negara diterjang pandemik COVID-19 bermula Januari 2020, sedikit demi sedikit rakyat mula merasa natijahnya, apatah lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0), satu langkah yang perit namun perlu dilaksanakan demi kemaslahatan rakyat.

Buat seketika, COVID-19 dapat kita jinakkan, namun angkara ketaksuban dan obsesi segelintir pihak, ia kembali bermaharajalela sejak akhir tahun lalu hingga hari ini.

Dunia secara umumnya tahu, Korea Selatan dan Jepun antara negara yang mencatatkan kadar bunuh diri tertinggi di Asia, tapi pernahkah anda bayangkan, Malaysia mengekori jejak langkah mereka?

Ya, Malaysia; sebuah negara ASEAN yang peradabannya menjunjung kemas budaya masyarakat Timur, tertib pabila berbicara, santun bermain bahasa, mesra kala bersemuka.

Benar, bunuh diri bukan sesuatu yang luar biasa, kerana sememangnya ada pihak cenderung mengambil jalan singkat, menamatkan riwayat sebagai jalan akhir penyelesai masalah.

Mungkin bukan kerana rela, tetapi kerana diri dihantui tekanan psikologi yang menghalang akal berfikir secara waras, maka membunuh diri menjadi titik akhir penyelesaian buat golongan berkenaan.

Meski sudah dijangka keperitannya, siapa pula boleh menduga, kehadiran PKP 3.0 bermula pertengahan Mei lalu membawa bersama trend yang cukup meresahkan ini.

Hampir setiap hari, rakyat dikejutkan oleh tragedi sedemikian, yang sebenarnya boleh dicegah sebelum parah, jika sahaja pihak berwajib cakna dengan keadaan semasa.

Mengapa ia berlaku? Kerana rakyat tertekan. Mengapa pula rakyat tertekan? Dek pandemik tidak berkesudahan. Mengapa pandemik tidak berkesudahan? Ting ting ting, semua ada jawapannya, bukan begitu?

Kempen kibar bendera putih diwujudkan bagi membantu golongan yang memerlukan. - Gambar dari Twitter
Kempen kibar bendera putih diwujudkan bagi membantu golongan yang memerlukan. - Gambar dari Twitter

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan, kes bunuh diri merekodkan peningkatan sebanyak 20 peratus di negara ini, bermula dengan 188 kes pada tahun 2019, melonjak kepada 226 hanya sehingga Oktober tahun lalu sahaja.

Dapat dibayangkan bukan, bagaimana unjuran angka itu sehingga Jun tahun ini?

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula berkata, purata 10 penduduk negeri tersebut membunuh diri dalam tempoh sebulan, termasuk dengan terjun dari jambatan.

Menurut beliau, sebanyak 53 kes seumpamanya dilaporkan berlaku di negeri berkenaan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Terbaharu di Taman Impian Ehsan Balakong, Selangor semalam, seorang lelaki yang dijangkiti COVID-19 menamatkan riwayatnya, dengan menggantung diri di sebuah jejambat.

Mangsa menurut ahli keluarga, dikatakan tertekan dengan kesan dibawa penyakit itu, seperti batuk, demam dan sesak nafas.

Pemandangan ngeri mayatnya tergantung, dapat dilihat jelas oleh pengguna jalan raya, menjadikan ia satu peristiwa yang pastinya sukar dilupakan.

Kes berkenaan adalah satu daripada ratusan fragmen kisah bunuh diri yang sememangnya seakan menjadi satu fenomena melatari negara ketika ini.

Dalam keadaan serba menghimpit ini, masihkah ada ruang untuk mengadu? Di kala rakyat sendiri sedia terbeban dengan kemelut kehidupan yang kian mendesak, ke mana kaki mahu dibawa?

Sesungguhnya nilai kemanusiaan itu adalah penyambung hayat, ketika dunia semakin dipenuhi kekejaman, khususnya bagi golongan tidak berdaya.

Ketika sejumlah besar rakyat negara ini merasakan hidup adalah satu bencana dek ditekan kesukaran melampau, masih ada yang prihatin dan ikhlas menghulur bahu untuk saling bersandar.

Paling menikam kalbu, keprihatinan itu diluahkan golongan marhaen, yang ternyata lebih pro aktif dan agresif memperjuangkan nasib sesama sendiri.

Atas dasar itu juga, tanda pagar #RakyatJagaRakyat dan #BenderaPutih trending di Twitter, malah turut mendapat tempat di Instagram.

Kempen ini bunyinya mudah, tapi cukup menusuk hati, betapa rakyat semakin menyedari, nasib mereka terletak di tangan sendiri untuk merencana perjalanan hidup pada masa mendatang.

Bermula dengan seruan meletakkan bendera putih di halaman atau pagar rumah jika memerlukan bantuan, ia pantas meraih perhatian komuniti setempat, yang berikrar membantu apa adanya, biar ringan seketika beban digalas.

Tidak lagi mampu bersandar harapan di bahu pemerintah, golongan ini bingkas bangun, berkongsi segala tenaga dan kemampuan setakat terdaya, biar linangan air mata itu diseka bersama-sama.

Sehingga jam 11.53 pagi, bilangan tanda pagar itu mencecah 3,817 dan angka berkenaan pasti akan terus meningkat, apabila ia diguna pakai jutaan pengguna Twitter yang ada.

Amat menghibakan sebenarnya, bila melihat keprihatinan yang mencurah ini, apatah lagi apabila ia dibuktikan rakyat jelata tanpa mengira agama atau bangsa.

Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Abd Hadi dalam ciapannya berkata, jumlah kes bunuh diri yang semakin membimbangkan menuntut perhatian segera semua pihak.

“Kalau keadaan menyesakkan, maklumkan. Kita cuba cari jalan untuk bantu bersama. Kalau mungkin keberatan berhubung untuk bantuan, kibarkan bendera putih di hadapan rumah. Sekiranya nampak bendera putih, kita bantu bersama,” katanya awal pagi tadi.

Sentimen tersebut turut dikongsi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), yang memuat naik poster khas kempen berkenaan di akaun Twitter rasmi mereka.

“Kepada yang susah dan tiada makanan, naikkan bendera putih di kediaman anda. Biar orang sekeliling pakat bantu sedikit sebanyak yang termampu.

“Tolong jangan ambil tindakan yang meremukkan hati orang yang tersayang. Tak perlu merayu, tak perlu malu. Kibar saja bendera,” kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam ciapan sekitar jam 10.20 pagi tadi.

Pada ketika kempen berkenaan menerima sambutan teramat menggalakkan daripada komuniti setempat, sesungguhnya adalah amat memualkan apabila melihat ia turut dicemari ‘niat murni’ beberapa ciapan pemimpin kerajaan dan parti politik  dari Perikatan Nasional (PN) yang kononnya turut sama mahu membantu.

Mengapa perlu menunggu sehingga ia trending untuk menghulur langkah? Bukankah mereka yang sepatutnya terlebih awal melupakan sandiwara politik masing-masing dan menjadikan kebajikan rakyat agenda utama?

Apa agaknya yang bersarang di fikiran barisan kepimpinan ‘cerdik-pandai’ ini ketika membaca rintihan dan keluh kesah rakyat?

Seorang netizen, Tan Yong menerusi akaun @ernesttan324 dalam ciapannya tidak ketinggalan menyelar sikap ‘tebal muka’ pemimpin kerana turut menggunakan tanda pagar #BenderaPutih tersebut, sedangkan jelas dan nyata ia adalah kempen yang seratus peratus berorientasikan keprihatinan rakyat.

“Sokong inisiatif tapi tak ambik inisiatif untuk menolong rakyat yang perlukan bantuan! Setiap #benderaputih dikibarkan adalah penunjukkan #KerajaanGagal.

“#KitaJagaKita has always been about #RakyatJagaRakyat,” katanya menerusi ciapan itu.

Solidariti tersebut turut mendapat perhatian aktivis dan peguam Syahredzan Johan, yang membidas percanggahan pendapat dalam kalangan jentera PN.

“Dalam PN pun celaru. Roslan SMS (PAS) kata kibar bendera putih ni ‘tak cerdik’, idea ‘muflis’.

“Menteri (PPBM) pula kata ‘jangan malu untuk kibar bendera’ dan sokong inisiatif ini. Macam mana kerajaan tak cacamarba macam ni,” katanya dalam ciapan di Twitter pada jam 11.13 pagi tadi.

Ciapan Syahredzan berkenaan dipercayai merujuk kepada kenyataan dibuat Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, atau lebih dikenali sebagai Roslan SMS.

Roslan dalam satu hantaran di Facebook malam tadi menyifatkan, tindakan mengibar bendera putih sebagai satu perbuatan tidak cerdik, malah secara sinis menyamakan tindakan itu dengan satu adegan dari filem jenaka, Madu Tiga lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Jika di tahap ini pun ia masih dianggap satu gurauan oleh parti yang mendukung perjuangan PN, maka ternyata benarlah, hanya rakyat mampu menjaga sesama mereka.

Kita jaga kita, dan rakyat jaga rakyat, cuma itu yang boleh dijadikan sandaran tempat berpaut ketika ini.

Mahu mengharapkan kerajaan? Sudah – sudahlah. - Getaran, 29 Jun 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

Kunjungan Putera Mahkota Petanda Hubungan Kukuh Malaysia-Brunei - PM

2

Sukan 1 bulan yang lalu

Tidak Rehat Lama Lepas Menang Gangsa - Aaron/Wooi Yik

3

Sukan 1 bulan yang lalu

Paris 2024: Kejayaan Pearly-Thinaah Cetus Inspirasi Kontinjen Malaysia

4

Semasa 2 bulan yang lalu

Penerbangan Bawa Pulang Rakyat Malaysia Di Bangladesh Berlepas Pagi Ini 

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara

Disyorkan untuk anda

Semasa 11 jam yang lalu

Kepincangan Syarikat GISBH Semakin Terdedah

Semasa 1 hari yang lalu

PU Azman Dipenjara 24 Tahun, 2 Sebatan Lakukan Amang Seksual Terhadap Remaja lelaki

Semasa 19 jam yang lalu

Mangsa Banjir Kedah Meningkat, 1 PPS Baharu Dibuka

Semasa 12 jam yang lalu

Remaja Dihanyut Arus Deras Ditemukan Lemas, Ibu Masih Hilang