JOHOR BAHRU - Menggunakan pelekat palsu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjadi taktik digunakan sekumpulan individu untuk memproses arak tiruan, sebelum ia berjaya dibongkar pihak berkuasa.
Kegiatan yang disyaki bermula sejak lima bulan lalu di Taman Ungku Tun Aminah itu berjaya ditumpaskan Batalion 5, Pasukan Gerak Am (PGA) Simpang Renggam, bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) kira-kira jam 8.10 pagi semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, enam individu dan empat pekerja warga asing berusia antara 27 hingga 41 tahun itu ditahan menerusi Op Kontraband.
Menurut beliau, premis yang diserbu itu disyaki dijadikan lokasi penyimpanan dan memproses arak tiruan tidak bercukai tersebut.
"Dalam serbuan ini, kita merampas pelbagai barangan dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan berkenaan selain sebuah lori dan kereta serta 20,000 pelekat JKDM yang disyaki palsu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Polis Johor di sini, hari ini.
Ayob Khan berkata, 244 kotak minuman keras dengan 20 tong pati arak 4000 liter (l), dua barel pati 400l, 36 galon pati masing-masing 100l dan 32l serta tujuh botol pati arak 14l dirampas dalam serbuan itu, membabitkan nilai lebih RM2.143 juta.
“Cukai kastam pula berjumlah RM870,462.50, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan lebih RM3.149 juta,” katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 167 dan Seksyen 75 Akta Eksesais 1976.
Ayob Khan menarik perhatian, aktiviti memproses minuman keras seumpama itu bukan kali pertama berlaku dan mereka percaya, ia melibatkan beberapa pihak lain.
"Kita boleh lihat mereka ini menggunakan ibu arak dan kemudian mencampurkannya dengan alkohol, sebelum dijual di pasaran tempatan menggunakan pelbagai jenama.
"Aktiviti ini menghasilkan keuntungan besar tetapi minuman jenis ini boleh dikenalpasti oleh mereka yang pakar membezakan antara arak tiruan dan asli,” katanya.
Beliau berkata, Batalion 5 PGA Simpang Renggam sudah membuat 22 tangkapan membabitkan 10 warga tempatan sepanjang 1 Julai lalu hingga semalam.
“Semua rampasan itu membabitkan nilai keseluruhan melebihi RM4.5 juta,” katanya. – Getaran, 3 Ogos 2021