ALOR SETAR - Urusan pentadbiran di Kedah termasuk kedudukan Exco di negeri ini akan berterusan seperti biasa, walaupun setelah pengumuman penarikan sokongan UMNO kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti diumumkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tiada tindakan akan diambil dari pihaknya, selagi beliau tidak menerima arahan daripada kepimpinan PAS di peringkat nasional.
“Saya tak mahu buat apa-apa selagi tidak dapat sebarang arahan daripada PAS Pusat.
“Setakat ini keputusan dibuat UMNO itu tidak memberi kesan kepada Kedah,” katanya ketika dihubungi Getaran di sini, malam tadi.
Difahamkan PAS Pusat turut mengadakan mesyuarat berhubung isu penarikan sokongan tersebut semalam.
Di Kedah, UMNO hanya memiliki dua kerusi DUN iaitu di Sungai Tiang yang diwakili Datuk Suraya Yaacob, dan Bandar Baharu, yang dimenangi Datuk Norsabrina Mohd Noor.
Suraya yang juga Ahli Majlis Tertingi UMNO dan berperanan sebagai Ketua Penerangan UMNO Kedah, merupakan seorang daripada Exco kerajaan negeri dengan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air serta Tenaga negeri.
Ketika ini kerajaan PN Kedah didokong oleh 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, enam dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan dua UMNO.
Sekiranya kedua-dua ADUN UMNO itu menarik diri daripada terus menyokong kerajaan sedia ada, keadaan itu tidak langsung memberi kesan walaupun pembangkang terdiri daripada ADUN Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) hanya mempunyai 13 kerusi.
Dalam pada itu Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menerusi satu kenyataan memaklumkan, parti tersebut mengambil pendirian untuk tidak mengulas mengenai perkembangan mutakhir yang dicetuskan oleh pelbagai pemimpin parti politik.
“PEJUANG merafak sembah menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong agar fokus perlu diberikan kepada krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda rakyat sejak lebih 17 bulan lepas akibat pandemik COVID-19.
“Sememangnya itu yang dihasratkan PEJUANG ketika mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan menggembleng tenaga pakar bagi memberi tumpuan menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya. - Getaran 4 Ogos 2021.