Setiap majikan punya cara tersendiri untuk menghargai setiap pekerja. Ada yang menganjurkan acara makan malam, ada yang memberi bonus perayaan, ada yang memberikan hadiah sempena ulangtahun kelahiran dan ada juga yang membawa pekerja bercuti.
Foodpanda mengambil pendekatan menyeronokkan untuk menghargai ‘riders’ mereka. Jika anda merupakan kanak-kanak di era 80-an, pasti pernah menonton program TV popular dari Amerika, ‘Supermarket Sweep’, di mana peserta berlumba di celah-celah lorong pasaraya untuk mengisi troli mereka dengan barang-barang tertentu.
Foodpanda menjadikan program ini sebagai inspirasi. Sebagai salah satu platform penghantaran makanan dan barang runcit yang popular Malaysia, Foodpanda telah bekerjasama dengan MYDIN untuk mengadakan acara 'Supermarket Sweep' sendiri sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan kepada ‘riders’ terbaik mereka. Acara ini diadakan serentak di empat cawangan MYDIN di seluruh negara.
Seramai 25 ‘riders’ terbaik dari seluruh negara telah mengambil bahagian dalam Cabaran 'Supermarket Sweep’ yang diadakan di MYDIN, rangkaian pasaraya dan kedai runcit Halal terbesar di Malaysia.
Mereka dipilih secara teliti berdasarkan prestasi dan tempoh perkhidmatan mereka yang luar biasa . Dengan membawa sebuah troli kosong, setiap peserta diberikan elaun membeli-belah sebanyak RM1,500 dan jam yang mengira mundur selama tiga minit.
Setiap peserta bergegas melalui lorong-lorong di cawangan MYDIN di Subang Jaya, Bukit Mertajam, Johor Bahru, dan Kuching selepas waktu operasi biasa kedai MYDIN. Seluruh pasar raya besar tersebut dibuka khas untuk mereka sebagai ganjaran atas perkhidmatan cemerlang mereka menghantar makanan dan barangan keperluan lain kepada pelanggan Foodpanda.
Ketua Pegawai Eksekutif foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, acara yang dianjurkan ini adalah sebagai tanda penghargaan terhadap kerja keras yang dicurahkan oleh pekerja barisan hadapan mereka ini.
"Di Foodpanda, kami sentiasa mencari cara untuk melibatkan dan memberi ganjaran kepada tenaga kerja barisan hadapan kami yang luar biasa. Cabaran ‘Rider Supermarket Sweep’ ini dirancang untuk meraikan kerja keras dan dedikasi pemandu kami dengan sedikit cabaran yang menyeronokkan. Ia adalah pengalaman yang benar-benar unik yang mempamerkan kemahiran, kelajuan, dan semangat mereka.”
“Dengan meraikan kerja keras dan dedikasi mereka ini, Cabaran ‘Rider Supermarket Sweep’ ini menambah elemen kejutan yang menarik dalam industri penghantaran makanan. Pada masa yang sama, kami berterima kasih kepada MYDIN atas sokongan mereka dalam menjayakan acara ini," ujar beliau.
Sementara itu, peserta Abdul Qahhar bin Abdul Razak, 28, turut meluahkan rasa syukur kerana terpilih sebagai salah seorang ‘rider’ terbaik.
"Pertama sekali, saya terkejut apabila dipilih untuk acara ini kerana saya tidak menyedari prestasi saya, jadi saya sangat bersyukur atas pengiktirafan ini. Apabila saya mengetahui bahawa alat elektronik seperti televisyen dan telefon pintar tidak dibenarkan untuk dimuatkan ke dalam troli, saya memberi tumpuan untuk mengisi troli saya dengan barang-barang yang dapat bertahan beberapa bulan seperti lampin bayi, beras, dan minyak masak semasa cabaran tiga minit ini,” ujarnya
"Nasihat saya kepada rakan-rakan ‘rider’ yang lain adalah untuk melakukan tugas anda dengan betul dan cekap. Senang sahaja untuk mencapai perkara ini, dan jika anda menunjukkan prestasi yang baik, anda akan dapat memperoleh lebih banyak. Sentiasa pastikan kualiti kerja anda terkawal dan berikan yang terbaik,” tambah Abdul Qahhar lagi.
Seorang lagi peserta, Wong Wei Sheng, 36, pula berkata: "Saya berasa sangat bersyukur dan berbesar hati kerana dipilih untuk menyertai permainan ini.
“Sejak menyertai Foodpanda pada November 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya menghargai fleksibiliti dan pembayaran mingguan yang memberikan pendapatan yang konsisten, sama ada saya bekerja sepenuh masa atau separuh masa. Apabila saya mendapat tahu bahawa saya dipilih, saya berasa terkejut, tetapi turut berasa bangga,” katanya. - Getaran, 25 Jun 2023
Saksikan detik-detik menarik daripada Rider Supermarket Sweep di sini pandariders.my/supermarket_sweep/!