Medium TV YouTube merupakan salah satu pecahan saluran premium daripada platform YouTube yang berkonsepkan langganan berbayar secara bulanan.
Namun, platform yang dikendalikan dibawah syarikat Google itu telah mengumumkan peningkatan harga langganan bulanan TV YouTube daripada RM291 kepada RM327 mulai April 2023.
Kenaikan harga itu berlaku apabila perkhidmatan penstriman dalam talian ini perlu bersaing dengan beberapa platform penstriminan video lain seperti Disney Plus dan Apple TV+ yang juga turut menaikkan yuran langganan mereka sendiri.
Platform Disney Plus telah pun memaklumkan bahawa mereka akan menaikkan yuran langganan bulanan daripada RM13.50 kepada RM49.40 sebulan (untuk Amerika Syarikat) sejak Disember tahun lepas. Begitu juga Apple TV+ yang turut menaikkan yuran langganan bulanan dan tahunannya kepada RM31.40 dan RM309.50 (untuk Amerika Syarikat).
Kenyataan mengenai kenaikan harga langganan TV YouTube tersebut dikeluarkan menerusi laman Twitter rasmi mereka yang menjelaskan bahawa apabila kos kandungan video atau saluran premium meningkat, mereka perlu terus melabur dalam kualiti perkhidmatan. Ini termasuklah mengemas kini harga langganan bagi memberikan pelangan perkhidmatan yang terbaik.
Menerusi kenaikan harga langganan tersebut, TV YouTube turut menyediakan lebih daripada 100 saluran serta perakam video digital (DVR) dengan storan tanpa had yang membolehkan sehingga enam akaun disambungkan dalam setiap isi rumah.
Bagaimanapun, ia turut menyatakan bahawa platform YouTube akan menurunkan harga alat tambahan untuk mod 4K Plus daripada RM89.70 sebulan kepada RM44.80 sebulan.
Syarikat Google yang mengendalikan platform tersebut mengucapkan terima kasih kepada ahli komunitinya yang terus melanggan TV YouTube dengan harga terbaharu itu. Pada masa yang sama mereka tetap akui serta memahami bahawa harganya mungkin tidak sesuai atau bukan mampu milik untuk semua orang.
Google melaporkan bahawa TV YouTube berjaya mengutip jumlah hasil pengiklanan sebanyak RM264.8 bilion, namun ia menunjukkan penurunan berbanding jumlah yang dikutip sebanyak RM274.69 bilion pada suku tahun sebelumnya. - Getaran, 21 Mac 2023
Sumber: Marketing-interactive.com