Anda sebenarnya silap kalau menyangkakan kamera aksi unggul (flagship) GoPro terbaharu yang dilancarkan, Hero 12 Black tidak banyak perbezaan dengan versi terdahulu iaitu Hero 11 Black.
Ini disebabkan pelancaran kamera aksi kecil yang menjadi antara peranti utama penggemar aktiviti aktif ini dihadirkan dengan pelbagai ciri-ciri baharu menarik dan amat ditunggu-tunggu.
Antara yang paling kritikal dan mendapat perubahan ialah ketahanan bateri pada GoPro Hero 12 Black yang memberikan masa rakaman lebih lama - terima kasih kepada teknologi bateri dan sistem kamera yang lebih baik.
Dengan penggunakan bateri Enduro, pengguna Hero 12 Black boleh merasakan pengalaman rakaman yang lebih panjang dalam apa juga keadaan termasuk dalam suhu sejuk yang ekstrem.
Sistem Hero 12 Black terbaharu ini akan melipat gandakan masa rakaman berterusan sehingga dua kali lebih baik di mana rakaman pada resolusi 5.3K dengan 60 bingkai sesaat (fps) memberikan masa sehingga 70 minit berbanding 35 minit pada Hero 11 Black, manakala 58 minit pada resolusi 4K/120 fps.
Malah, ada yang berjaya melakukan rakaman sehingga 81 minit untuk resolusi 4K dengan 60 fps.
Namun, setiap yang baik pasti ada kekurangan di mana pertambahan masa rakaman antara lain turut disebabkan model terbaharu Hero 12 Black tidak lagi didatangkan dengan GPS bina dalam, antara ciri yang amat jarang digunakan dan sering dipadamkan oleh pengguna sebelum ini.
Jadi jurutera GoPro membuat keputusan untuk memansuhkan GPS bina dalam untuk memberikan masa rakaman yang lebih baik.
Tetapi harus juga diingat, masa rakaman yang lebih lama dengan resolusi rakaman tinggi boleh meningkatkan suhu GoPro anda ekoran pemproses dan bateri mengeluarkan banyak haba akibat kerja berat dilakukan, terutama pada resolusi dan kadar fps lebih tinggi.
Sejak sistem kamera mereka dilancarkan 19 tahun lepas, GoPro sentiasa memastikan kamera aksi mereka menjadi pemangkin kepada golongan jurufoto atau juruvideo amatur menjadi profesional dengan pelbagai tambahan ciri-ciri menarik dan unggul.
Ini dapat disaksikan pada GoPro terbaharu ini yang masih mengekalkan kalis air sehingga kedalaman 10 meter, tanpa perlu menggunakan bekas kalis air - yang turut boleh digunakan untuk penggunaan melebihi 10 meter.
Ciri jejari boleh lipat tersedia turut dikekalkan dengan tambahan lubang skru 1/4 inci (pendakap 1/4-20) untuk tapak tripod standard tanpa memerlukan pengguna menggunakan aksesori pemadan tambahan.
Cukup dengan perubahan ‘kecil’ pada GoPro Hero 12 Black dan sekarang kita lihat pula pada perubahan besar yang lebih menarik pada kamera aksi terbaharu ini.
Pengekalan sensor CMOS 6.3 x 5.5mm 27 megapiksel dengan nisbah aspek 8:7 yang diperkenalkan pada Hero 11 Black sebelum ini, memberikan rakaman menghampiri format segi empat sama yang hampir memenuhi keseluruhan saiz sensor, untuk membolehkan anda membuat pangkasan format antara menegak atau melintang.
Selain itu, GoPro turut mengekalkan profil video Protune yang memberikan kebebasan kepada pengguna untuk melakukan penggredan warna, selain menambah profil baharu, Log GoPro (GP-Log) yang menjanjikan julat lebih dinamik dan potensi penyuntingan warna yang lebih menarik.
Jika sebelum ini, rakaman kualiti julat dinamik tinggi (HDR) hanya tersedia untuk format foto tetapi kini bagi Hero 12 Black, ia turut dipadatkan pada format video.
HDR mungkin bagi sesetengah pengguna kedengaran seperti tetapan teknikal, tetapi ia penting walaupun untuk pengguna kasual.
Semasa rakaman, kamera Hero 12 Black akan menilai pencahayaan dan melaraskan dedahan untuk mengekalkan keseimbangan terbaik (melainkan jika anda menggunakan semua tetapan manual).
Apabila terdapat kawasan terang dan gelap dalam rakaman yang sama, kamera perlu membuat tekaan terbaik. Untuk memperbaikinya, HDR memainkan peranan penting dan Hero 12 Black menyatakan mereka mampu melakukannya dengan lebih baik.
Kini bagi mereka yang sering menggunakan format menegak, Hero 12 Black sudah memberikan kemudahan dengan satu klik tanpa memerlukan anda memusingkan kamera.
Format menegak sedia ada boleh digunakan untuk rakaman video dan juga foto tanpa berkompromi dengan ciri-ciri penstabil terkini, HyperSmooth 6.0 dengan kekunci ufuk (Horizon Lock) yang menjadikan rakaman video lebih dramatik dan menarik.
Satu lagi ciri menarik yang ditunggu-tunggu oleh juruvideo profesional ialah melaraskan kod masa (Timecode Sync) yang membolehkan tangkapan berbilang sudut dari kamera berlainan yang dapat diselaraskan.
Menggunakan ciri ini amat mudah dan hanya memerlukan pengguna mengimbas kod QR yang diberikan dan lainnya akan diselaraskan oleh kamera dan kemudiannya melalui aplikasi suntingan video.
Ciri ini akan membolehkan editor video menyelaraskan pelbagai sudut dari pelbagai rakaman GoPro untuk diselaraskan dalam satu garis masa.
Walaupun GoPro Hero 12 Black sudah memberikan kelebaran lensa yang memadai namun pengguna boleh menambah aksesori lensa Max Lens Mod 2.0 yang akan menjadikan kelebaran lensa lebih luas kepada 177 darjah.
Bagi mereka yang sering membuat rakaman kamera yang diletakkan agak jauh, kini Hero 12 Black turut menyediakan sambungan peranti bluetooth yang memberikan kebebasan untuk pengguna memberikan arahan suara dari jauh.
Lebih menarik, Hero 12 Black boleh disambungkan dengan empat peranti bluetooth sekaligus.
Dan GoPro Hero 12 Black bukan hanya untuk pengguna video semata-mata, ia juga menyediakan pelbagai ciri-ciri menarik untuk jurufoto melalui tetapan foto dengan kesan lukisan cahaya (Light Painting), rintisan bintang (Star Trails) dan jejak cahaya kenderaan (Vehicle Light Trails).
Apa pun, GoPro Hero 12 Black mempunyai banyak ciri-ciri menarik yang boleh diteroka untuk menjadikan rakaman video atau foto kita menjadi lebih kreatif dan unik.
Ia kini sudah berada di pasaran dengan harga cadangan bermula RM1,999 manakala lensa Max Lens Mod 2.0 pula berharga RM519 di semua pengedar GoPro yang sah. - Getaran, 30 September 2023