KUALA LUMPUR – Eksklusif, segar, informatif dan unik; portal berbahasa Melayu keluaran terbaharu Petra News dilancarkan semalam, membawa aspirasi berita serta hiburan dari segenap dimensi.
Dikenali sebagai Getaran, portal yang membawa slogan Gema Berita dan Hiburan itu sarat dengan informasi terkini berita semasa, hiburan serta gaya hidup.
Portal yang menghimpunkan barisan wartawan berpengalaman luas itu bakal menampilkan pengisian berbentuk laporan khas, rencana eksklusif, kisah kemasyarakatan dan topik menarik industri hiburan, termasuk dari arus perdana serta indie.
Enggan terperangkap dengan pengisian sama seperti portal lain, Getaran memaparkan susun atur ringkas tetapi eksklusif, hasil gandingan rona ungu sebagai warna korporat.
Mainan warna yang sesuai turut menyuntik imej mewah terhadap portal berkenaan, selain reka letak yang mudah difahami, menjadikan ia sebuah portal mesra pembaca.
Diterajui Mohd Zulkifli A Jalil selaku Pengarang Urusan, Getaran diyakini mampu menarik minat generasi muda, dengan sasaran kelompok umur 18 hingga 44 tahun.
Mohd Zulkifli atau lebih dikenali sebagai M Zul berkata, Getaran bukan sebuah portal ‘tradisional’, sebaliknya makalah yang mampu mengisi jiwa pembaca, dengan pelbagai kisah sarat berunsur masyarakat dan bernilai positif.
“Kami mahu tampil sebagai wadah yang mengangkat permasalahan rakyat, laluan untuk suara mereka didengar, dan aspirasi buat golongan ini meneruskan hidup, lebih-lebih lagi dalam keadaan sukar seperti ini.
“Getaran akan menjadi sebuah portal yang mudah didekati, membantu rakyat sebagai pemudah cara dalam meneruskan kelangsungan hidup di dunia serba mencabar,” katanya pada sesi pelancaran secara digital di sini.
Dalam memastikan objektif penubuhan Getaran tercapai, M Zul memberi jaminan bahawa sidang redaksi portal terbabit akan sentiasa cakna dengan perkembangan terkini, agar kandungan yang disiarkan kekal relevan.
Beliau mengakui, sumbangan kolumnis dan penulis undangan yang majoritinya berada dalam kelas tersendiri amat membantu perjalanan portal untuk kekal berdaya saing.
“Kita perlu optimis dan kekal berada pada landasan supaya hala tuju Getaran tidak tersasar dari objektif penubuhan,” katanya.
Sekadar info, barisan kolumnis berkaliber seperti Wirda Adnan, Eddin Khoo, Roslen Fadzil dan Ad Samad adalah antara pengisi ruangan di Getaran untuk mengupas perkembangan semasa bagi kategori masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Eksekutif Petra News, Datuk Ahirudin Attan berkata, Getaran walaupun menampilkan konsep berbeza, masih berpegang kepada laporan berita yang tepat, sahih dan berwibawa.
Sama seperti The Vibes, Ahirudin atau mesra digelar Rocky menegaskan, tidak akan ada ‘kesalahan’ yang dibiarkan berlalu begitu sahaja oleh Getaran, kerana semuanya akan dilaporkan secara adil dan saksama.
“Getaran akan menyentuh semua ruang lingkup kehidupan, tanpa mengira agama, bangsa atau kedudukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarang Berita Petra News, Terence Fernandez berkata, kewujudan The Vibes dan Getaran memberi ruang kepada segelintir pengamal media, selepas mereka hilang mata pencarian akibat kemelut ekonomi yang dibawa pandemik COVID-19.
“Baik The Vibes atau Getaran, kami dibarisi petugas berbilang bangsa, demi memupuk semangat perpaduan yang sejak akhir-akhir ini, semakin hilang dari jiwa rakyat.
“Petra News dibarisi kumpulan petugas berdedikasi, saling bertoleransi dan hormat antara satu sama lain, seperti yang selayaknya dimiliki oleh sebuah negara majmuk seperti Malaysia,” katanya.
Meski ciri utama Getaran terletak pada kandungan hiburan dan gaya hidup, portal ini tidak menjadikan gosip murahan dan kisah picisan sebagai objektif utama.
Mendalami dan menggali sisi lain industri hiburan, M Zul berkata Getaran mahu membantu mengangkat semula industri berkenaan yang amat terkesan dengan penularan COVID-19.
“Pandemik ini melumpuhkan bukan hanya golongan penghibur, tetapi petugas di belakang tabir yang boleh dikatakan hilang mata pencarian, susulan larangan penganjuran pelbagai acara seperti gig secara langsung dan konsert.
“Dengan wujudnya Getaran, kami mengharapkan ia mampu membantu sektor ini kembali bernafas, sekali gus membuka ruang untuk mereka terus berkarya,” katanya.
Gegar, gempar dan gegar, Getaran pasti tidak akan mengecewakan. – Getaran, 30 Januari 2021