KUALA LUMPUR - Setiap kejayaan dan prestasi cemerlang yang ingin diraih dalam kehidupan memerlukan komitmen berterusan, kerana tidak ada jalan mudah untuk mencapainya.
Di sebalik minat mendalam terhadap apa dilakukan itu, disiplin tinggi, sikap profesional dan rajin berusaha menjadi ‘adunan resipi’ terbaik untuk mana-mana individu merealisasikan impian.
Perkara terbabit diakui atlet dari Kelab Bola Sepak Manjung City (MCFC), Muhammad Faris Mohamad Ariffin yang menjadikan elemen berkenaan sebagai pegangan diri untuk berjaya dalam sukan diceburinya itu.
“Bagi memastikan prestasi sebagai pemain bola sepak sentiasa meningkat, pertama sekali kena ada disiplin untuk menjalani latihan sama ada bersama pasukan atau secara sendiri.
“Saya rasa tanpa disiplin, minat, sikap positif dan rajin, memang susah seseorang pemain nak mengekalkan prestasi. Setiap pemain perlu bekerjasama. Jangan mementingkan diri atau tidak boleh ditegur kerana sikap ini akan ‘merosakkan’ keseluruhan pasukan,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Berkongsi pembabitan awal dalam sukan terbabit, anak muda berusia 26 tahun itu berkata, dia didedahkan dengan aktiviti berkenaan sejak sekolah rendah, selepas dihantar ayah mengikut latihan bersama sebuah kelab bola sepak pada hujung minggu.
“Minat saya diasah ayah ketika saya di tahun tiga, malah beliau memang berhasrat mahu melihat saya menjadi pemain bola sepak profesional.
“Apabila di tahun empat, saya mewakili pasukan bola sepak sekolah dan sejak itu, saya semakin minat serta serius dalam sukan ini,” katanya.
Berbekalkan pengalaman dan skil dimiliki, Muhammad Faris mampu menarik perhatian pihak pengurusan Piala Presiden Perak yang menawarkan tempat untuk menyertai pasukan itu sebaik tamat persekolahan pada tahun 2014.
Kemudian, dia beralih ke skuad bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan apabila melanjutkan pengajian peringkat diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban.
Jelasnya, sebaik melangkah ke pengajian peringkat sarjana muda di universiti awam sama, dia ditawarkan sebagai pemain pasukan senior Negeri Sembilan ketika berusia 22 tahun, namun nekad menolak peluang itu demi pelajaran kerana sukar memberikan komitmen terhadap kedua-dua bidang pada satu masa.
“Saya berhenti bermain bersama pasukan sepanjang tiga tahun pengajian dan ketika itu saya fikir peluang untuk bergiat aktif dalam bola sepak sudah tertutup, namun rezeki saya rupanya masih ada untuk sukan ini.
“Selepas tamat pengajian dan balik ke kampung, seorang kawan mengajak saya mencuba nasib ke pemilihan diadakan MCFC pada Disember 2019 dan berjaya,” kata anak jati Kuala Kangsar, Perak itu.
Ditanya kelebihan sebagai atlet MCFC, Muhammad Faris berkata, setiap atlet pasukan diberikan kontrak sebagai pemain dan kakitangan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
“MPM kelebihannya memang kami (pemain) dapat kerja sekali untuk menjamin kebajikan masing-masing, terutama ketika negara dilanda COVID-19 yang menyaksikan sesetengah pasukan lain terkesan sehingga ada pemain tidak disambung kontrak.
“Dalam keadaan gawat itu, syukur Alhamdulillah apabila kami tetap ada pendapatan bulanan untuk kelangsungan hidup,” katanya.
Namun, umpama pepatah ada rotan, ada duri, dalam setiap kesenangan tentu ada kesusahannya.
Mengulas soal cabaran, Muhammad Faris berkata, ia dihadapi ketika ingin memastikan diri berada dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, jelasnya, tentangan itu boleh diatasi menerusi latihan tambahan atau sentiasa memperbaiki kelemahan.
“Cabaran lain adalah kadang-kala tercetus perselisihan faham antara ahli pasukan atau tidak puas hati apabila ditegur dan dinasihati rakan secara berdepan.
“Jika saya berdepan situasi ini, cara saya mengatasinya adalah berjumpa rakan terbabit untuk berbual berdua.
“Saya sendiri pula bila ada isu seperti tidak mencapai prestasi disasarkan, saya akan berjumpa jurulatih atau rakan sepasukan untuk meminta nasihat bagaimana mengatasi masalah itu,” katanya.
Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) itu, setiap atlet juga perlu sentiasa berusaha di luar sesi latihan untuk meningkatkan kemahiran, teknik dan taktik permainan.
“Macam saya yang bermain di posisi pertahanan, saya kena buat sehabis baik untuk menjaga gol pasukan saya daripada dibolosi lawan, jadi kena sentiasa meningkatkan kemahiran.
“Jika tidak dapat pertahankan gawang dengan baik, kemungkinan pasukan saya akan kalah dan saya rasa gagal.
“Bagi memastikan saya mendapatkan ilmu tambahan, saya menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebab permainan pasukannya nampak sangat teratur, seronok tengok.
“Saya juga akan melihat cara perlawanan pasukan Malaysia kerana mahu tahu bagaimana corak permainan bola sepak negara,” katanya.
Berbicara mengenai harapan peribadinya, Muhammad Faris yang menjadikan pemain legenda bola sepak tempatan, Muhammad Shukor Adan dan antarabangsa Sergio Ramos sebagai idola sukan itu, mensasarkan untuk membantu pasukannya berada pada kedudukan pertama, sekali gus layak ke Liga Perdana tahun ini.
Katanya, MCFC sudah berlatih setiap hari sejak dua tahun lalu walaupun pertandingan ditunda sementara akibat COVID-19, malah dia yakin pasukan itu berpotensi bergelar juara untuk ke Liga Perdana
“Secara individu, saya mahu memberikan komitmen penuh dan melakukan yang terbaik untuk pasukan,” katanya. - Getaran, 6 Februari 2022