KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak seharusnya dipersalahkan apabila kedudukan Malaysia merosot dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022.
Pempengaruh, Adzman Kamaruddin menerusi bebenang di X berkata, keputusan berkenaan adalah berdasarkan kajian yang dijalankan pada April 2021 sehingga Mei 2022.
Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan belum dibentuk waktu itu dan negara masih berada di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
“Dah ada puak yang salahkan YBMP @FadhlinaSiddiq bila Malaysia merosot dalam PISA 2022.
“Sekolah Malaysia ditutup kerana pandemik jauh lebih lama berbanding purata waktu tutup sekolah negara-negara lain (data PISA),” katanya.
Dah ada puak yang salahkan YBMP @FadhlinaSiddiq bila Malaysia merosot dalam PISA 2022.
— Adzman Kamaruddin (@adzman86) December 6, 2023
Hello,
1. Keputusan PISA 2022 adalah berdasarkan kajian yang dijalankan pada April 2021 - Mei 2022, tiada kaitan dengan Menteri Kerajaan Perpaduan.
2. Sekolah Malaysia ditutup kerana…
Tegas Adzman, antara punca penutupan sekolah untuk tempoh yang lama adalah pengisytiharan darurat oleh kerajaan PN, demi kepentingan atau survival politik kerajaan.
“Ini beri impak negatif kepada murid - the lost learning.
“Kegagalan kerajaan PN pimpinan (Tan Sri) Mahiaddin Yassin mengurus pandemik pada waktu tersebut beri implikasi kepada situasi sekarang,” katanya.
Adzman menarik perhatian, portfolio Menteri Pendidikan waktu itu disandang Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan beliau adalah individu yang wajar dipersalahkan.
“Siapa Menteri yang pegang portfolio Pendidikan ketika itu dan perlu jawab? Radzi Jidin lah! (Saya takkan tarik balik),” katanya, sinis.
Pendapat senada disuarakan seorang lagi pempengaruh, yang hanya menggunakan nama Aisehman di X.
Katanya, Mohd Radzi gagal menangani impak pandemik ke atas sektor pendidikan dengan efektif.
“Kalau nak dijadikan bahan politik, boleh belasah mantan Menteri Pendidikan @RadziJidin. Sebab prestasi jatuh teruk masa dia menteri.
“Namun, kena amik kira bahawa pendidikan terjejas semasa Covid-19 melanda,” katanya.
Kedudukan Malaysia dalam purata pencapaian ketiga-tiga domain literasi PISA 2022 merosot, dengan COVID-19 dianggap sebagai faktor penyumbang terbesar.
Penutupan sekolah sepanjang tempoh itu dilihat menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Purata pencapaian Malaysia dalam Literasi Matematik menurun sebanyak 31 mata kali ini, manakala Literasi Saintifik serta Literasi Bacaan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 22 dan 27 mata. - Getaran, 6 Disember 2023