PADANG TERAP - Meskipun kedudukannya terletak agak jauh di pedalaman, waktu rehat pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Nami di sini, dapat diisi dengan lebih 'bermakna' daripada pelajar di sekolah bandar apabila mereka berpeluang bermain boling bagi mengisi waktu terluang, hasil kreativiti guru mereka.
Menurut Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Nami, Wan Roslan Wan Ishak, 48, atau lebih mesra dipanggil Ustaz Wan dalam kalangan anak muridnya, beliau mengambil inisiatif untuk membina lorong boling, berikutan minatnya yang cukup mendalam dalam sukan berkenaan.
Ustaz Wan yang pernah mewakili negeri dalam Kejohanan Sukan Dan Kebudayaan Pegawai Pendidikan berkata, beliau mula menubuhkan kelab boling di sekolah itu pada 2015 dengan hasrat untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan tersebut.
"Namun, kami berdepan cabaran tersendiri kerana tempat latihan terdekat adalah di Alor Setar yang jarak perjalanannya agak jauh iaitu lebih 50 kilometer sehala.
"Lagi pun kebanyakan pelajar di sini, adalah daripada golongan kurang berkemampuan. Kadang-kadang nak minta RM10 dari keluarga mereka untuk bayaran latihan boling pun rasa mahu menitis air mata menyebabkan saya mengeluarkan belanja sendiri bagi menampung keperluan itu," katanya.
Oleh sebab itu, katanya, beliau mula mengambil inisiatif membina sendiri lorong boling di sekolah tersebut dengan menggunakan papan lapis pada 2018.
"Saya kemudiannya mendapatkan sumbangan pin dan bola terpakai dari sebuah pusat boling di Alor Setar bagi digunakan di sekolah ini.
"Melihat sambutan cukup menggalakkan dari murid-murid, saya bersama guru lain kemudiannya membina satu lagi lorong boling pada 2021 dengan turut melakukan penambah baikan menggunakan cat licin, sejenis kertas serta minyak khas," katanya.
"Tidak berakhir di situ, pada 2023 kami sekali lagi menaik taraf lorong boling ini dengan menambah ketebalan papan lapis supaya bola tidak mudah melantun. Selain itu, kami letakkan juga kertas dinding jenis licin di lorong tersebut," katanya ketika ditemui Getaran di sini, semalam.
Tambahnya, kos untuk membina lorong boling tersebut iaitu kira-kira RM1,000 ditampung olehnya bersama guru-guru lain sebelum ada pihak menghulurkan sedikit sebanyak sumbangan bagi melengkapkannya.
"Selain lorong boling, kami turut membina laluan khas untuk 'menggolekkan' bola yang sudah dibaling ke kedudukan asal, seperti di pusat-pusat boling. Walaupun perlu dilakukan secara manual, setidak-tidaknya usaha ini mengurangkan beban murid untuk membawa bola ke tempat asal bagi digunakan semula.
"Laluan khas itu dibina dengan menggunakan paip polivinil klorida (PVC) yang diletakkan simen di dalamnya. Jika ada rezeki selepas ini, saya berhasrat untuk membina beberapa lagi lorong boling yang lebih sempurna kerana ketika ini pun, murid-murid kadang-kadang berebut-rebut mahu mencuba," katanya.
Sejak inisiatif itu dilaksanakan, saban tahun akan ada pelajar SK Nami yang bertanding di peringkat negeri hasil latihan berterusan terutamanya pada waktu rehat dan hujung minggu di sekolah berkenaan.
Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, Azizah Nik Ishak berkata, usaha dijalankan Ustaz Wan bersama guru-guru lain di situ berjaya menarik minat pelajar untuk mendalami sukan berkenaan.
"Saya amat menghargai pengorbanan dilakukan guru-guru ini dari segi masa, tenaga dan kewangan. Setiap kali tibanya waktu rehat, murid-murid akan berpusu-pusu untuk bermain boling bersama Ustaz Wan di depan pejabat pentadbiran.
"Semakin lama, semakin cekap anak-anak di sini bermain boling. Siapa tahu satu hari nanti, akan lahir atlet kebangsaan dari sekolah ini dan kami akan terus menyokong usaha guru-guru seperti Ustaz Wan dalam membimbing murid-murid ini," katanya.
Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Danish Mikail Radin, 11, berkata, dia sebelum ini tidak pernah tahu berkenaan sukan boling sebelum mencubanya di sekolah.
"Ibu dan ayah saya bekerja sebagai penoreh getah, manakala saya adalah anak kedua dari tiga beradik. Sebelum ini memang tak pernah main boling pun di mana-mana.
"Tetapi apabila berpeluang bermain boling di sekolah, banyak yang Ustaz Wan ajarkan. Kalau Ustaz Wan ajak main boling pada hari cuti pun, saya akan datang ke sekolah dan satu hari nanti kalau boleh, saya mahu jadi atlet boling negara," katanya. - Getaran, 7 Mei 2024.