web statsweb stats

Berita Terkini

10 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


PH, PRN Melaka Dan Pengkhianatan, 2 Katak Mengundang Bala

Politik Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 21 Nov 2021 3:09PM

Zahid Hamidi hadir ke bilik gerakan utama Barisan Nasional yang memaparkan perkembangan jumlah kiraan undi semasa mengikut Dewan Undangan Negeri. - Gambar oleh Azim Rahman

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) boleh tersenyum puas kali ini, walaupun berdepan kompaun kerana melanggar larangan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Nilai kompaun itu pastinya terlalu kecil jika mahu dibandingkan dengan kemenangan besar blok itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung semalam.

Ia juga adalah bukti bahawa keampuhan parti cap dacing tersebut sukar digugat, walaupun pernah runtuh seketika apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak semena-mena beralih arah dan menarik semula sokongan ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sebenarnya, sebaik sahaja DUN Melaka dibubarkan, sedar atau tidak BN sudah mula menggerakkan permainan mereka, sama ada secara zahir atau tersembunyi, termasuk dengan memainkan pelbagai sentimen untuk menarik perhatian rakyat.

Bermula dengan dolak dalik berhubung jalinan kerjasama antara komponen, bekas parti utama negara itu tidak pernah gagal menebar pesona, walau sering kali terpalit elemen negatif.

Kerancakan pemimpin BN memberikan kenyataan juga secara tidak langsung menonjolkan keyakinan mereka, bahawa proses menawan kembali negeri bersejarah itu bukan satu misi yang mustahil.

Walaupun banyak bibir mencebik dan mata menjeling setiap kali nama calon BN disebut di mana-mana, hakikatnya blok tersebut berjaya membuktikan bahawa taring mereka tidak pernah tumpul meskipun satu ketika dahulu, parti itu nyaris lenyap ditelan keangkuhan sendiri.

Bossku Sumber Kekuatan

Sumber memberitahu Getaran, kekentalan semangat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhasil meniup semangat akar umbi BN di Melaka untuk bekerja keras, demi memastikan jejak mereka kembali bertapak.

Walaupun pernah kecundang angkara empat ‘katak’ yang berpaling tadah, ternyata ia tidak berhasil menggugat kepercayaan rakyat, yang sejak sekian lama menaruh keyakinan bahawa komponen Dacing pasti berhasil membela nasib mereka.

Kehadiran Najib berkempen beri impak kepada kemenangan BN. - Gambar oleh Azim Rahman
Kehadiran Najib berkempen beri impak kepada kemenangan BN. - Gambar oleh Azim Rahman

“Jujur saya katakan, 90 peratus janji ditaburkan BN adalah retorik politik semata-mata yang kerap kali berkumandang sebelum ini, namun ternyata rakyat tidak peduli itu semua.

“Mereka nampaknya lebih memilih kestabilan, walaupun BN pernah kecundang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini,” katanya, yang turut berada di Melaka bagi mengikuti secara dekat perjalanan PRN.

Menurut beliau, kehadiran Najib secara konsisten untuk berkempen dilihat berhasil mengumpan perhatian ramai, malah ada penduduk Melaka yang terang-terangan melahirkan rasa terharu dapat bertemu muka dengan beliau.

“Tengok pun kita tahu, Najib memang ‘umpan’ memikat, khususnya generasi lama yang kesetiaan mereka memang berpaksikan kepada BN. Bagilah calon muda belia dari parti mana sekalipun, kesetiaan mereka tidak akan berganjak.

“Kalau kita lihat, formula BN sangat mudah sebenarnya; dekati akar umbi di kampung serta desa, raih kepercayaan mereka dan hasilnya kemenangan pasti tercipta,” katanya.

Mencemar Duli Teori Kemenangan

Menambat hati akar umbi sememangnya teori yang sudah diakui berkesan, malah sudah dipraktikkan BN sejak zaman-berzaman.

Walaupun ada dengan sinis mendakwa wajah Yang Berhormat (YB) hanya kelihatan setiap kali musim pilihan raya, hakikatnya ia lebih baik berbanding langsung tidak menjenguk muka.

Ya, rakyat negara ini sememangnya mudah terpujuk, walau satu ketika dahulu, hati sarat menanggung luka sehingga mereka bangkit bersuara.

Kesudian BN ‘mencemar duli’, mengadap Pak Long dan Pak Ngah di kampung, mendengar keluh kesah atau sekadar sembang bersama Mak Alang di warung kopi, sudah cukup menambat semula jiwa yang kehausan perhatian pemimpin.

Dengan sekelip mata mereka lupa pada semua kontroversi melatari gabungan itu, khususnya UMNO, walaupun jelas sekali kisah jelik dilakar parti terbabit masih berlarutan, termasuk yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Keputusan dicatat semalam juga seakan tidak berhasil ‘memadam’ rekod buruk kelompok kleptokrat ini, apabila beberapa calon yang disifatkan sebagai kontroversi masih berhasil meraih kemenangan besar.

Calon DUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh misalnya, didakwa terbabit skandal pasir, yang dikatakan antara punca kejatuhan kerajaan negeri, susulan penarikan semula sokongan empat ADUN.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri turut dikatakan bertindak sebagai pengatur cara utama pentadbiran kerajaan Melaka, dengan menjadikan Sulaiman sebagai boneka.

Kesemua tuduhan tersebut pastilah dinafikan Rauf, yang ‘bersumpah’ bahawa beliau hanya mahu berbakti kepada negeri kelahirannya itu, sekali gus menjadi wadah memperjuangkan suara rakyat.

Dalam satu sidang media, Sulaiman pula menafikan bahawa dirinya sekadar boneka tunggangan Rauf, malah menegaskan, orang kuat UMNO berkenaan sedikit pun tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pernah berkata, jika hati sudah suka, memang tak kenal botol kicap atau cuka.

Relatifnya, ia menggambarkan pendirian rakyat Melaka yang tidak lagi kisah dengan segala kontroversi melatari UMNO kerana hati mereka sekali lagi berjaya ditambat parti itu.

Apa Sudah Jadi, Pakatan Harapan?

Di atas kertas, Pakatan Harapan (PH) dilihat memiliki peluang yang amat cerah untuk mendominasi PRN Melaka, sekali gus merampas kembali tampuk pemerintahan yang pernah dikuasai sebelum ini.

Kekalahan mereka kali ini jika tidak berhasil mencambah aliran pemikiran baharu, nescaya boleh sahaja menjadi titik mula berkuburnya blok itu dalam arena politik negara.

Sekian lama menjadi perhatian, malah dianggap parti paling ‘masak’ dengan sepak terajang yang keras terjangannya, persembahan buruk PH amat mengejutkan.

Mereka bukan sahaja gagal mengulangi kegemilangan yang diraih sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 (PRU14), tetapi turut kehilangan sejumlah besar kerusi yang sekian lama menjadi kubu kuat masing-masing.

Dari mata ramai, PH sememangnya cukup berkelayakan untuk sekali lagi mengemudi negeri Hang Tuah itu, malangnya ia diranapkan oleh keangkuhan mereka sendiri.

Pendirian pucuk pimpinan yang enggan mendengar suara akar umbi untuk tidak menerima kemasukan dua ‘katak’ terbukti mengundang musibah. - Gambar oleh Alif Omar
Pendirian pucuk pimpinan yang enggan mendengar suara akar umbi untuk tidak menerima kemasukan dua ‘katak’ terbukti mengundang musibah. - Gambar oleh Alif Omar

Pendirian pucuk pimpinan yang enggan mendengar suara akar umbi untuk tidak menerima kemasukan dua ‘katak’ terbukti mengundang musibah.

Penolakan keras rakyat bawahan ternyata tidak diendahkan, dan hasilnya jelas lagi nyata, dua katak memang membawa bala apabila PH melakar pencapaian terburuk yang pastinya tidak pernah dibayangkan selama ini.

Sumber yang dekat dengan gabungan pembangkang itu memberitahu, konflik dalaman sesama mereka antara punca persefahaman jitu pakatan berkenaan gagal dimeterai pada PRN Melaka.

Menurutnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini terbukti hebat dalam mengatur corak strategi parti gagal menyerlahkan karisma dimiliki, apabila memilih untuk mengenepikan suara bawahan.

“Apa suara bawahan itu? Mereka menolak katak, tambahan selama ini PH antara yang paling lantang menentang elemen lompat parti.

“Tapi apa pula yang berlaku? PH tidak mahu mendengar nasihat, dan tetap menerima masuk Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan,” katanya, kecewa.

Dua Katak Dan Pengkhianatan

Khabar yang hinggap di telinga Getaran membisikkan, pendirian Anwar dan AMANAH itu juga jelas tidak dipersetujui DAP dan ‘keretakan’ hubungan mereka dapat dilihat di sepanjang PRN apabila DAP seakan memilih untuk ‘menyepi’ daripada sebarang aktiviti anjuran PH.

Idris dan Nor Azman
Idris dan Nor Azman

“Siapa yang tak sakit hati? Memang penolakan DAP itu ada asasnya. Jika Idris dan Nor Azman boleh meninggalkan parti dianggotai selama puluhan tahun hanya kerana tidak puas hati, apa jaminan mereka akan bersetia bersama PH yang hanya batu loncatan untuk kekal berkuasa?

“Pengunduran mereka bukan sahaja satu pengkhianatan kepada parti, tetapi juga kepada pengundi di DUN masing-masing yang memilih kedua-dua wakil rakyat ini bersandarkan kepada tiket parti diwakili,” tegas seorang lagi sumber.

Sumber itu, seorang wanita yang berambut ikal mayang berkata, tindakan PH membawa masuk Idris dan Nor Azman dilihat UMNO sebagai satu lelucon, yang menjadi sendaan setiap masa.

“Orang putih kata, good riddance. Ambil pengkhianat masuk parti, apa sahaja yang boleh diharapkan? Jika tidak, masakan Nor Azman boleh kalah di kerusi yang disandangnya selama ini? Jika benar beliau dipilih atas faktor dirinya sebagai seorang individu, pastilah di paksi mana pun beliau berada, tidak menjadi soal.

“Ini tidak. Sudahlah bertanding atas tiket BN, dipilih pula kerana beliau adalah calon BN, akhirnya berpaling tadah pula ke blok pembangkang. Siapa sahaja yang tak sakit hati,” katanya.

Anwar, UMNO Dan Mainan Politik

Sesungguhnya dalam kitaran kehidupan, pengkhianatan sememangnya tidak boleh diterima, biar dalam apa cara sekali pun.

Anwar sepatutnya lebih arif dalam hal ini.

Puluhan tahun mengabdikan diri bersama UMNO, dan kemudiannya disingkirkan dengan cara yang begitu aib pantas sahaja menjadi pengajaran termahal buat beliau.

Penubuhan PKR yang bertitik tolak daripada satu pengkhianatan ke atas dirinya seharusnya menjadi pemangkin untuk beliau berpegang kepada keputusan dan kehendak ramai, iaitu menolak penyertaan Idris serta Nor Azman ke dalam gabungan itu.

Tari PH canggung kali ini, berbekal langkah sumbang yang dimulakan Anwar dan pimpinan lain.

Lompat si katak lompat, lompat masuk dalam perigi, apa Anwar dapat? PRN Melaka PH menang lima kerusi.

 Lima kerusi berbalas 21 di pihak BN, memang satu total knock out sebenarnya untuk PH, justeru gabungan itu harus segera bangkit menyelesaikan segala permasalahan dalaman dan konflik sesama parti jika mahu kekal relevan.

Rumah siap, pahat pasti akan berbunyi tetapi biarkan ia sekadar angin berlalu kerana tugas lebih besar menanti PH jika mahu terus berada di persada politik negara.

Fokus utama sudah tentulah menangkis kemaraan UMNO dan BN yang nampaknya semakin meraih momentum untuk kembali berkuasa.

Perikatan Nasional (PN)?  Ah, lupakan sahaja kerana mereka sekadar penghias poster. - Getaran, 21 November 2021

Berita Berkaitan

1

Politik 4 bulan yang lalu

Tubuh Jawatankuasa Pantau Janji PRK, Elak Retorik Lama - Santhara

2

Politik 4 bulan yang lalu

Pengundi India Tetap Akan Sokong PH Walaupun Kecewa - Sivarraajh

3

Politik 5 bulan yang lalu

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

4

Semasa 7 bulan yang lalu

Jangan Jadikan Kelemahan Ringgit Senjata Politik - Anwar

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara

Disyorkan untuk anda

Semasa 19 jam yang lalu

Mangsa Banjir Kedah Meningkat, 1 PPS Baharu Dibuka

Politik 19 jam yang lalu

PRK Mahkota: Orang Asli Antara Yang Awal Keluar Mengundi

Semasa 11 jam yang lalu

Kepincangan Syarikat GISBH Semakin Terdedah

Semasa 1 hari yang lalu

PU Azman Dipenjara 24 Tahun, 2 Sebatan Lakukan Amang Seksual Terhadap Remaja lelaki