KUALA LUMPUR - Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO akan memberi keutamaan kepada 10 penambahbaikan sayap parti itu jika diberi peluang menerajui pergerakan berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, antara penambahbaikan itu ialah penaziran kekuatan Pemuda Bahagian setiap tiga bulan sekali serta melaksanakan program bersepadu di bahagian secara berkala.
Menurut beliau, Koperasi Pemuda Malaysia juga akan diwujudkan di setiap bahagian untuk aktiviti ekonomi mampan, di samping meningkatkan jalinan hubungan dengan institusi berdaftar melibatkan pendidikan formal dan tidak formal termasuk kemahiran.
“Penambahbaikan turut menyediakan roadmap dari jalanan ke glokal untuk anak muda berpotensi selepas melalui proses pendedahan dan timbangan ilmu dengan kerjasama agensi kerajaan.
“Selain itu, mewujudkan institusi Pemikir Muda dalam kalangan korporat muda untuk memimpin kemajuan industri desa dan bandar anak muda di setiap bahagian dan cawangan serta dana khas yang dikumpul untuk bantuan segera Pemuda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, beliau juga akan mewujudkan semula Akademi Kapten Hussien bagi non partisan orang muda yang mahu mengenai hala tuju UMNO, selain melahirkan tokoh muda berwibawa kental dan memperjuangkan hak bangsa Melayu bercakap benar serta ampuh.
Dalam pada itu, Armand Azha berkata, paling utama dalam penambahbaikan tersebut ialah persediaan gerak kerja ke arah Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Katanya, jika diberikan mandat beliau juga akan melaksanakan tanggungjawab hakikinya bersama barisan kepimpinan Pemuda mempertahankan parti daripada serangan musuh dan memastikan laungan Hebatkan Pemuda difahami di seluruh peringkat.
“Hebatkan Pemuda akan lebih dinamik dan progresif tanpa meninggalkan asas kekuatan UMNO. Kembalikan perjuangan moderate (sederhana) yang diterima oleh rakyat Malaysia.
“Hebatkan Pemuda ini pasti akan menerapkan semangat Harimau Perjuangan UMNO yang berani, digeruni, ikhlas dan dihormati oleh parti mahupun pihak lawan,” katanya.
Terdahulu dalam satu video dikongsikan beliau pada Januari lalu, Ketua UMNO Subang itu menawarkan diri bertanding jawatan berkenaan dalam pemilihan sayap parti itu yang dijadual berlangsung pada 11 Mac depan.
Bagaimanapun, Armand Azha mengakui berdepan serangan pihak tertentu biarpun tarikh pencalonan bagi pemilihan belum dibuka.
Ahli Dewan Negara itu bagaimanapun berkata, beliau tidak berminat dengan sebarang bentuk serangan peribadi seperti itu atau mahu menjatuhkan imej mana-mana pihak.
Selain Armand Azha, beberapa nama lain dijangka bertanding merebut jawatan itu termasuk Setiausaha Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan.
Seorang lagi calon yang sepatutnya merebut jawatan berkenaan iaitu Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dijangka tidak dapat bertanding kali ini selepas digantung keahliannya oleh parti Jumaat lalu.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pemuda dan EXCO Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac. - Getaran, 6 Februari 2023