KUALA LUMPUR - UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan melakukan introspeksi menyeluruh, susulan persembahan buruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Mohd Asyraf Wajdi berkata, parti berkenaan juga mengambil pendekatan untuk bermuhasabah secara terperinci, berdasarkan keputusan diterima.
Menurut beliau, kerjasama jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) umumnya semakin baik walaupun hanya mula berputik empat bulan lalu.
“Sama-sama kita terus bekerja kuat untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dengan memfokuskan kepada prestasi khidmat dan kerja.
“Ini termasuk dalam urusan pentadbiran dan pengurusan negara termasuk aspek ekonomi yang begitu kuat memberikan impak pada rakyat,” katanya.
Jelas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu, biarlah rakyat menilai prestasi tersebut, khususnya pentadbiran di peringkat Persekutuan.
“Biarlah juga mereka menilai prestasi negeri-negeri di bawah Kerajaan Perpaduan, termasuk tiga negeri yang berjaya dikekalkan dalam PRN kali ini.
“Moga Allah permudahkan segala usaha baik yang disulami keikhlasan hanya bermatlamat untuk khidmat yang terbaik demi rakyat,” katanya.
Mantan Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua jentera parti yang berkampung lebih dua minggu di enam negeri terlibat.
Katanya, barisan kepimpinan parti amat menghargai segala kerja keras dan pengorbanan diberikan.
“Hanya Allah sahajalah yang mampu membalas segalanya dengan limpahan rahmat dan keberkatanNya jua.
“Alhamdulillah, kita terima segala ketentuan Allah atas keputusan PRN dengan lapang dada dan penuh keinsafan. Yang menang tak menang semua yang kalah tak kalah semua,” katanya.
BN mengulangi pencapaian buruk pada PRN kelmarin, apabila hanya memenangi 19 kerusi, walaupun bertanding di bawah panji Kerajaan Perpaduan.
Kekalahan itu menyebabkan desakan supaya Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan kembali kedengaran. - Getaran, 14 Ogos 2023