KUALA LUMPUR - Caruman baharu ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengeluarkan simpanan mereka menerusi kemudahan pengeluaran seperti i-Citra dan i-Sinar akan dikreditkan sepenuhnya ke dalam Akaun 1 untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan.
Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, pendekatan berkenaan membolehkan pecahan caruman akan kembali kepada 70 peratus untuk Akaun 1 dan 30 peratus untuk Akaun 2.
Menurutnya, berdasarkan statistik KWSP, selepas mengambil kira pengeluaran i-Sinar dan i-Citra, hanya 27 peratus daripada ahli aktif yang berusia 18 hingga 55 tahun didapati mempunyai simpanan asas iaitu RM240,000.
“Angka itu menunjukkan penurunan berbanding 30 peratus pada 31 Disember 2020 sebelum kemudahan pengeluaran tersebut dilaksanakan. Sudah pasti perkara ini membimbangkan kerana majoriti ahli dijangka tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi menampung keperluan asas kelak.
"Justeru, dalam usaha menambah baik simpanan ahli yang mengeluarkan i-Sinar dan i-Citra, kerajaan telah menetapkan caruman baharu yang diterima ahli terlibat akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 sepenuhnya sehingga keseluruhan jumlah pengeluaran Akaun 1 diganti semula," katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PAS Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi mengenai langkah kerajaan dalam memastikan simpanan di Akaun 1 KWSP ditingkat semula.
Sementara itu ketika menjawab soalan asal mengenai pelan strategi kerajaan untuk menyokong keselamatan persaraan rakyat yang semakin mengecil, Mohd Shahar berkata kerajaan sentiasa melakukan penambahbaikan berterusan ke atas Skim KWSP sedia ada.
“Antaranya, pengeluaran umur 55 tahun dan pengeluaran umur 60 tahun yang lebih fleksibel, tempoh tanggungan mencarum iaitu ahli dan majikan sehingga usia 75 tahun sekiranya ahli masih bekerja, menggalakkan ahli terus kekal aktif bekerja dan majikan mengambil pekerja berumur 60 tahun dan ke atas serta memperkenalkan i-Saraan selain i-Suri.
“Selain itu, KWSP juga akan memperkenalkan pengeluaran baharu pada tahun ini untuk membolehkan ahli membeli produk insurans atau takaful, menyediakan khidmat nasihat secara percuma dan menerusi program Belanjawanku,”katanya.
Sementara itu, Mohd Shahar menegaskan pengeluaran KWSP berjumlah RM101 bilion melalui skim i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra tidak akan menjejaskan pasaran kewangan domestik berikutan kedudukannya sebagai antara pemain terbesar dalam pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).
“Pengeluaran terbabit juga tidak memberi impak negatif ke atas pelaburan MGS, malah, langkah seperti kaedah Alokasi Aset Strategik (SAA) sedang dilakukan bagi menampung segala pengeluaran yang dibuat sepanjang tempoh terbabit.
"Kerajaan juga akan terus meneliti kaedah-kaedah lain untuk memastikan Jaringan Keselamatan Sosial persaraan rakyat ini dapat kembali ke tahap yang sepatutnya," katanya. – Getaran, 24 November 2021.