KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengumumkan langkah-langkah tertentu bagi mengurangkan kenaikan harga barangan keperluan serta barangan lain dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, satu pertemuan telah diadakan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan Kementerian Kewangan (MOF) semalam, bagi membincangkan dengan lebih terperinci mengenai isu kenaikan harga barangan keperluan.
“Kami sedar akan kenaikan harga barang keperluan jadi seperti mana yang dimaklumkan serta dijelaskan, sebenarnya kenaikan ini adalah menyeluruh bukan sahaja di negara kita, di negara lain pun seperti ayam, sayur-sayuran dan telur.
“Semalam tiga kementerian duduk bermesyuarat dan kami berbincang bagaimana dalam masa terdekat ini mahu berbuat sesuatu yang mungkin dapat mengawal keadaan dan kalau boleh, mengurangkan harga barangan keperluan. Saya minta sabar sedikit lagi untuk pengumuman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan cawangan ke-2,000 kedai 99 Speedmart di Puncak Sentul di sini hari ini.
Menurut Alexander, kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah tertentu yang diyakini boleh membantu membendung kenaikan harga barang keperluan dalam masa dua minggu lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebanyakan punca kenaikan harga barangan keperluan adalah di luar kawalan pihak kementerian.
“Isu berkenaan bukan sahaja membabitkan kenaikan makanan ayam malah ia turut melibatkan kos operasi di ladang-ladang penternakan ayam.
“Pihak KPDNHEP akan tengok (nanti) bagaimana kita menangani masalah ini, kita tengok secara keseluruhannya bagaimana untuk membantu semua penternak ini mengurangkan kos operasi, baru lah boleh kawal (harga).
“Baja dan racun pula di bawah MAFI, mereka yang lebih mengetahui dalam perkara ini. Kami di KPDNHEP ini menjaga harga jadi apabila kita selesai perbincangan bagaimana untuk buat yang terbaik, ia akan kita laksanakan nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada 99 Speedmart Sendirian Berhad atas pemukaan cawangan yang ke-2000.
Syarikat itu turut terpilih memenangi kategori Kedai Harga Patut (sub-kategori Kedai Runcit dan Pasar Mini) sempena Anugerah Perdagangan Dalam Negeri 2020 (APDN 2020) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dua hari lalu. - Getaran, 25 November 2021