KUALA LUMPUR - Penampilan terbaharu mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencetuskan tanda tanya dan mengejutkan apabila keadaan fizikalnya kelihatan semakin susut.
Gambar terkini dirinya itu dikongsikan Abdul Khalid di Facebook ketika meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-75
Turut kelihatan di dalam gambar itu adalah isteri beliau, Puan Sri Salbiah Tunut, anak dan cucunya.
Menerusi tulisannya di gambar itu, Abdul Khalid merakamkan kesyukuran kerana diberikan kesempatan menyambut ulang tahun kelahirannya bersama keluarga di rumah.
“Syukur Alhamdulillah saya telah diberi kesempatan menyambut hari lahir di rumah semalam (kelmarin) bersama Salbiah, Iqbal, Aida serta Arif.
“Terima kasih di atas ucapan selamat dari semua teman melalui whatsapp dan media sosial,” katanya.
Abdul Khalid turut memohon maaf kerana tidak dapat menjawab kiriman mesej dan ucapan diberikan kepadanya menerusi medium sosial itu.
“Mohon maaf kerana tidak dapat menjawab setiap satu.
“Maka di sini saya mengambil kesempatan untuk turut berdoa agar kita semua di dalam rahmat Allah SWT serta diberikan umur yang panjang dan bermanfaat dengan kesihatan yang baik. Amin,” katanya.
Namun, tidak dapat dipastikan setakat ini apakah perubahan fizikal dialami Abdul Khalid itu disebabkan beliau berdepan masalah kesihatan atau sebaliknya.
Menerusi ruangan komen di media sosial itu, pengikutnya mengucapkan selamat ulang tahun dan mendoakan kehidupannya sentiasa berada dalam keadaan baik.
Sepanjang kerjayanya dalam politik, Abdul Khalid pernah menyandang jawatan Menteri Besar Selangor selama lebih enam tahun bermula 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu juga pernah menyandang kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysianized Guthrie yang kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Berhad selama lapan tahun sehingga 2003.
Sepanjang perkhidmatannya sebagai menteri besar dan ahli korporat, beliau melakar pelbagai kejayaan dan pencapaian membanggakan, terutama memperkasakan kehidupan rakyat serta disifatkan pemimpin disenangi ramai. - Getaran, 16 Disember 2021